Semua pimpinan Gagasan Rakyat disarankan perkemas parti dan tambah keahlian
22:08 Aug 27, 2023  |  By SabahKini2
Semua pimpinan Gagasan Rakyat disarankan perkemas parti dan tambah keahlian

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor berkata, paling penting adalah untuk memperbanyakkan keahlian parti selain menubuhkan cawangan parti di semua bahagian.

TAWAU: Pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di semua peringkat memperkemaskan bahagian masing-masing sebagai persediaan menghadapi Pilhan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor berkata, paling penting adalah untuk memperbanyakkan keahlian parti selain menubuhkan cawangan parti di semua bahagian.

"Pada masa ini, Gagasan Rakyat mempunyai lebih 200,000 keahlian dan menjelang hujung tahun ini, keahlian akan mencecah 300,000 orang. 

"Saya yakin selepas perhimpunan agung selesai, Gagasan Rakyat akan menjadi satu parti yang kuat di negeri ini.

"Justeru, adalah penting untuk memperbanyakkan keahlian parti selain menubuhkan cawangan parti di semua bahagian. Bagi menguatkan parti, kita perlu mempunyai ahli yang ramai dan cawangan yang banyak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Ramah Mesra bersama pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat Bahagian Parlimen Tawau dan Kalabakan di sini hari ini.

Hajiji berkata, semua bahagian parti perlu menjadi kuat kerana hanya dengan kekuatan saja pelbagai cabaran boleh dihadapi.

"Inilah harapan kita dan kehendak ahli serta rakyat Sabah iaitu kita mesti menggunakan platform parti tempatan.

"Kita akan terus berjuang bersama rakyat agar dapat membangunkan Sabah dengan lebih teratur dan rancak.

"Keputusan kita untuk menubuhkan parti tempatan adalah tepat dan baik untuk masa depan negeri ini,” katanya yang turut menyatakan rasa gembira dapat hadir pada majlis santai berkenaan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Gagasan Rakyat akan mengadakan perhimpunan agung pertama parti pada bulan November ini di Kota Kinabalu.

Pada majlis itu, beliau turut menerima borang keahlian baharu Gagasan Rakyat daripada Bahagian Balung, Apas, Sri Tanjung, Kukusan, Tanjung Batu, Merotai, dan Sebatik.

Comment