3,963 Ketua Adat Sabah akan menerima kenaikan kadar elaun bulanan
22:08 Aug 27, 2023  |  By SabahKini2
3,963 Ketua Adat Sabah akan menerima kenaikan kadar elaun bulanan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenaikan kadar elaun bulanan itu akan memberi manfaat kepada 57 Ketua Daerah, 272 Ketua Anak Negeri, 648 Wakil Ketua Anak Negeri, 2,810 Ketua Kampung dan 176 Kapitan di seluruh negeri.

TAWAU: Seramai 3,963 pemimpin masyarakat (Ketua Adat) di Sabah akan mendapat purata 48 peratus kenaikan elaun bulanan mulai September tahun ini. 

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, elaun bulanan Ketua Daerah dinaikkan kepada RM3,500 daripada RM2,700 (29.6 peratus kenaikan), Ketua Anak Negeri kepada RM2,500 daripada RM1,700 (47.1 peratus peningkatan), Wakil Ketua Anak Negeri kepada RM1,300 daripada RM900 (44.4 peratus kenaikan), Ketua Kampung dan Kapitan kepada RM1,200 daripada RM700 (71.4 peratus kenaikan).

Katanya, langkah itu akan memberi manfaat kepada 57 Ketua Daerah, 272 Ketua Anak Negeri, 648 Wakil Ketua Anak Negeri, 2,810 Ketua Kampung dan 176 Kapitan di seluruh negeri. 

"Antara justifikasi kenaikan ini ialah sebagai pengiktirafan kedudukan terhormat Ketua Adat dalam masyarakat, termasuk peranan mereka sebagai hakim di Mahkamah Anak Negeri dan menampung perbelanjaan ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan majlis rasmi di luar daerah," katanya.

Hajiji membuat pengumuman itu di Majlis Bersama Pimpinan Gagasan Rakyat Tawau dan Kalabakan di sini, hari ini.

“Kerajaan negeri mengiktiraf peranan penting Ketua Adat sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dan kenaikan itu bertujuan meningkatkan motivasi Ketua Adat untuk memberikan perkhidmatan yang penuh integriti kepada masyarakat.

“Tambahan pula, ia telah lama tertunggak dengan semakan yang terakhir dilakukan pada tahun 2013. Elaun mereka kekal tidak berubah manakala kos sara hidup meningkat,” katanya.

“Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memenuhi keperluan semua pihak dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Comment