Sebanyak RM4.2 juta diperuntukkan untuk projek dan pembangunan wanita
22:08 Aug 27, 2023  |  By SabahKini2
Sebanyak RM4.2 juta diperuntukkan untuk projek dan pembangunan wanita

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan diberikan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita termasuk operasi dan pengurusannya tahun ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM4.2 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan diberikan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita termasuk operasi dan pengurusannya tahun ini.

Katanya, peruntukan khas juga telah diberikan untuk projek jangka pendek melalui Projek Creating Millionaire Among Young Women (CreaM@YWE) sebanyak RM 554,540 dan RM3.4 juta untuk Projek Akademi Kepimpinan Wanita Sabah.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan program di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan pada tahun 2023. 

“Antaranya ialah Program Outreach Santuni Wanita dan Program JHEWAnita untuk memperkasa golongan ibu tunggal dan wanita B40. 

"Program Santuni Komuniti yang bertujuan meningkatkan penghasilan dan penjualan produk oleh usahawan ibu tunggal dan wanita B40 merupakan antara inisiatif baharu untuk menyantuni masyarakat juga akan diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di sini pada Sabtu.

Hajiji berkata, kerajaan sememangnya mengambil usaha dan tindakan yang berterusan bagi merapatkan jurang gender melalui inisiatif yang diambil, sama ada melalui kementerian, jabatan mahupun agensi terlibat kerana ramai wanita yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan pembuat keputusan dalam sesebuah organisasi. 

Menurutnya, di Sabah sendiri saban tahun berlaku perubahan wanita sebagai pembuat keputusan. 

"Dalam sektor penjawatan awam, setakat bulan Ogos 2023, statistik dan data wanita pembuat keputusan kerajaan negeri bagi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri berjumlah 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Bagi jawatan Setiausaha Tetap berjumlah 9.09 peratus iaitu seorang wanita daripada 11 Setiausaha Tetap Kementerian.

"Peratusan Timbalan Setiausaha Tetap sebanyak 40 pertaus iaitu lapan wanita daripada 20 Timbalan Setiausaha Tetap. Sementara Ketua Jabatan pula sebanyak 30.23 peratus iaitu 13 wanita daripada 43 Ketua Jabatan.

“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting, bukan sahaja dalam aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata, banyak usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menambah baik perlindungan dan kebajikan pekerja khususnya wanita, antaranya pindaan ke atas Akta Kerja 1955 yang merangkumi pindaan cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti daripada tiga hari ke seminggu agar suami membantu para isteri yang baharu melahirkan anak.

Katanya, majikan juga diwajibkan menampal notis tentang kesedaran gangguan seksual di tempat kerja.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited dan terus memberi sokongan padu terhadap segala usaha yang dibuat mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperkasakan pembangunan wanita di negeri ini. 

Katanya, ia selaras dengan hala tuju kerajaan negeri bagi membudayakan masyarakat prihatin dan merakyatkan perkhidmatan cemerlang, kerajaan kekal komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

Menurutnya, tanpa mengambil kira latar belakang mereka, wanita pada masa kini mempunyai banyak kepakaran dalam pelbagai bidang dan berperanan penting kepada kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan serta pengukuh kasih sayang dalam masyarakat. 

Katanya, komitmen, kesabaran dan kecekalan wanita sebagai seorang isteri, ibu, anak dan sebagai seorang warga Malaysia yang berjiwa besar sangat memberikan inspirasi kepada semua. 

“Walaupun lakaran kejayaan demi kejayaan terus dicapai, kita tidak harus berpuas hati. 

"Tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana wanita masih terbelenggu dengan isu stereotaip terhadap kepimpinan wanita, penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan, beban berganda bagi wanita berkerjaya yang perlu mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga, serta isu keganasan berasaskan gender yang masih menyasarkan wanita," katanya.

Comment