Majlis Pengguna Thailand berkata, FDA dan Jabatan Perikanan perlu segera mengambil langkah pencegahan, terutama melakukan pemeriksaan rawak ke atas makanan laut yang diimport sama ada di pusat pemeriksaan atau di pasar tempatan.
MOSCOW: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA) dan Jabatan Perikanan negara itu diminta membuat pemeriksaan teliti ke atas semua makanan laut yang diimport dari Jepun berikutan keputusan Tokyo melepaskan air terawat daripada loji kuasa nuklear (NPP) Fukushima, lapor Sputnik.
"FDA dan Jabatan Perikanan perlu segera mengambil langkah pencegahan, terutama melakukan pemeriksaan rawak ke atas makanan laut yang diimport sama ada di pusat pemeriksaan atau di pasar tempatan," kata Pengerusi Jawatankuasa kecil produk makanan, ubat-ubatan dan kesihatan Majlis Pengguna Thailand Panuchote Thongyang kepada Bangkok Post.
Beliau berkata China, Hong Kong dan Korea Selatan telah menggantung import semua jenis makanan laut dari Jepun, namun setakat ini tiada agensi Thailand mengumumkan sebarang langkah untuk mengurangkan risiko keselamatan, menurut laporan itu yang menambah bahawa Thailand adalah pengimport utama produk ikan dari Jepun.
Timbalan setiausaha agung FDA Lertchai Lertvut pula dilaporkan berkata pengguna tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka kerana FDA, Jabatan Perikanan, polis narkotik dan Institut Teknologi Nuklear Thailand menjalankan pemeriksaan berkala ke atas semua makanan laut yang diimport.
Jepun mula melepaskan air terawat dari loji janakuasa nukelar Fukushima yang lumpuh ke Lautan Pasifik bersama pengendali loji itu, TEPCO, sejak Khamis lepas dan menjelaskan bahawa air itu telah dibersihkan daripada semua bahan radionuklid kecuali tritium, yang masih dalam had yang dibenarkan.
Tindakan itu dikritik beberapa negara termasuk China, Korea Selatan dan Korea Utara, yang bimbang akan pencemaran radioaktif.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa berkata aktiviti Tokyo adalah konsisten dengan piawaian keselamatan antarabangsa dan air sisa itu hanya membawa kesan minimum kepada manusia dan alam sekitar.
Tiga reaktor di loji nuklear Fukushima lumpuh akibat gempa bumi pada skala 9 magnitud yang diikuti tsunami besar dan insiden itu dianggap sebagai bencana nuklear terburuk sejak insiden Chernobyl pada 1986.