Gagasan Rakyat Likas bantu perjuangan GRS
15:08 Aug 28, 2023  |  By SabahKini2
Gagasan Rakyat Likas bantu perjuangan GRS

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohammad Bahrin Abd Karim berkata Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah 'Solidariti Suara Sabah' akan membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS.

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas akan memperkukuhkan dan membantu perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu parti lokal menggunakan formula tempatan.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohammad Bahrin Abd Karim berkata Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah 'Solidariti Suara Sabah' akan membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Katanya permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk rakyat di Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat cawangan berkelompok Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Likas di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua bahagian Gagasan Rakyat Likas Muamar Julkarnain; Naib Ketua bahagian Dr Awang Faisyal Asyiffa Awang Rahim; Setiausaha bahagian Mohd Shahezam Salisi; Ketua Penerangan, Zakaria Mandalam; Penolong Bendahari,Golden Lim; Ketua Wanita Halijah Din; Ketua Beliawanis, Noor Azee Ashikin Angsari serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat bahagian Likas.

Menurut Bahrin rakyat Sabah amat  memerlukan kestabilan politik kerana itu sajalah pilihan terbaik yang mampu membangkitkan keupayaan Sabah untuk bergerak ke hadapan dengan  keyakinan politik dan ekonomi.

Jelasnya kestabilan politik sangat penting kerana ia mencorak nasib dan masa depan generasi akan datang serta kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah.

Comment