Sabah zahir rasa bertuah dan teruja dikunjungi Agong
02:09 Sep 07, 2023  |  By SabahKini2
Sabah zahir rasa bertuah dan teruja dikunjungi Agong

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program jelajah yang sedang berlangsung amat bermakna kepada rakyat, kerana mereka berpeluang untuk menatap dari dekat wajah Yang di-Pertuan Agong dan keluarga.

KOTA KINABALU: Negeri Sabah dan rakyatnya amat bertuah dan sangat teruja dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengadakan Program Kembara Kenali Borneo.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program jelajah yang sedang berlangsung amat bermakna kepada rakyat, kerana mereka berpeluang untuk menatap dari dekat wajah Yang di-Pertuan Agong dan keluarga.

Malah katanya, ada juga yang berkesempatan untuk bertegur sapa di beberapa lokasi persinggahan sepanjang pengembaraan yang dilalui oleh Seri Paduka Baginda.

"Ternyata keprihatinan, kemesraan dan kemuliaan hati Tuanku berdua akan kekal terpahat di hati rakyat untuk selamanya”, katanya pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri sempena Program Kembara Kenali Borneo (Sabah) di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya.

Hajiji berkata, rakyat amat mengagumi kesediaan dan kesanggupan Seri Paduka Baginda berdua menelusuri dan memandu sendiri sepanjang lebuhraya Pan Borneo dari Tawau hingga ke Kota Kinabalu hari ini dan meneruskan kembara ke Sipitang esok, dan seterusnya ke Negeri Sarawak, Bumi Kenyalang.

Beliau turut memaklumkan Seri Paduka Baginda bahawa perdagangan negeri Sabah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah iaitu melonjak naik sehingga RM118.1 bilion pada 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.

“Seiring peningkatan itu, meski pun baharu mengambil alih tampuk kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan negeri berupaya membawa masuk lebih daripada RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah, disamping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.

“Dengan prestasi ekonomi yang baik berserta hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas diperkenalkan dua tahun lalu berjaya merealisasikan usaha murni kerajaan negeri dalam membangunkan semula ekonomi negeri Sabah," katanya.

Menurutnya, Pelan Pembangunan SMJ adalah Dasar Hala Tuju Kerajaan yang sejajar dan selari dengan Gagasan Malaysia Madani untuk membawa perubahan dan pembangunan yang menyeluruh dan holistik, juga bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membasmi kemiskinan.

Beliau juga berikrar untuk terus menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda dan kedaulatan Institusi Diraja yang menjadi payung dan lambang perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia sejak sekian lama. 

“Semoga Program Kembara Kenali Borneo yang bersejarah ini, akan kekal terukir indah di dalam hati sanubari Seri Paduka Baginda dan kaum kerabat selamanya," jelssnya.

Comment