Harga beras naik: Kerajaan Sabah wajar sekat monopoli Kumpulan Sazarice, Sabarice milik BERNAS di Sabah
02:09 Sep 07, 2023  |  By SabahKini2
Harga beras naik: Kerajaan Sabah wajar sekat monopoli Kumpulan Sazarice, Sabarice milik BERNAS di Sabah

Kenaikan harga beras putih import meningkat sehingga 36% menyusahkan rakyat. Anak syarikat BERNAS, Kumpulan Sazarice/Sabarice yang monopoli pengedaran beras di Sabah wajar disekat. Lembaga Padi Sabah atau apa saja entiti untuk pecahkan BERNAS di Sabah..

Pengumuman PM Anwar pada disember 2022 mengenai monopoli beras BERNAS beberapa hari dilantik menjadi Perdana Menteri mengundang kritikan pemimpin PN kononnya ini usaha menyekat taikun bumiputera Tan Sri Syed  Mokhtar Bukhari.

Ketika itu PM mengumumkan Syed Mokhtar setuju memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada para pesawah padi miskin. Kemudiannya pada tahun 2023 RM50 juta. Para pemimpin PN seperti MB Kedah berkata PM jadikan Syed Moktar sasaran kerana dia melayu. 

Hakikatnya duit membantu pesawah miskin itu lebih sedikit berbanding duit rasuah pemberian Syed  Mokhtar Bukhari kepada Tan Sri Muhyiddin dan PN hampir RM500 juta. Kes itu menyebabkan Tan Sri Muhyiddin didakwa di mahkamah.

 

Konsesi BERNAS

3 Disember 2020, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Kerajaan PN ketika itu mengumumkan Kerajaan bersetuju melanjutkan konsesi Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bagi pengedaran beras di negara ini untuk tempoh 10 tahun lagi bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031 atas alasan melindungi komoditi strategik khususnya beras sebagai makanan ruji rakyat Malaysia.

Konsesi pertama BERNAS, yang berfungsi memastikan kecukupan dan keselamatan makanan ruji negara, selama 15 tahun bermula pada 12 Januari 1996 sehingga 11 Januari 2011 dan dilanjutkan untuk tempoh 10 tahun lagi dari 11 Januari 2011 sehingga 10 Januari 2021.

20 Julai 2022 Kerajaan PN mempertahankan tindakan melanjutkan tempoh konsesi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pengimport tunggal beras di negara ini meskipun ia dipertikaikan beberapa pihak termasuk Anwar Ibrahim. Menurut Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, tindakan kerajaan itu adalah tepat bagi memastikan bekalan bahan makanan berkenaan berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

"Malah melalui tempoh konsesi itu BERNAS mempunyai 10 obligasi yang mesti dipatuhi sebagai pengimport tunggal beras antaranya membantu pesawah dan petani.

"Kita melanjutkan tempoh konsesi bagi BERNAS menjadi pengimport tunggal beras melalui keputusan yang diambil pada 2020," katanya

 

Menamatkan konsesi BERNAS yang sudah ditandatangan bukan mudah ia dilindungi undang-undang. Oleh itu teguran Anwar kepada Syed Moktar sebelum ini sudah tentu mencakupi hal-hal kebimbangan rakyat mengenai konsesi itu dan perlunya BERNAS menyumbang dana kepada pesawah miskin namun ia menjadi bahan kempen PN menyerang Kerajaan Perpaduan.

 

Lantik BOD Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras tapi harga beras tak dapat kawal?

 

Apa jadi kini? BERNAS kekal monopoli dan umum sesuka hati kenaikan harganya.

 

BERNAS naikkan harga beras putih import

Pengumuman Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa 1 September 2023 mengundang kritikan rakyat.

Apapun alasan BERNAS kenaikan harga import itu turut memberi tempias kepada beras tempatan memandangkan BERNAS juga adalan pembekal utama kepada beras itu. Ini belum masuk lagi kilang-kilang beras mengambil kesempatan menukar bungkusan beras tempatan kepada import yang menyebabkan kekurangan beras tempatan.

Pengeluar-pengeluar beras tempatan juga mengambil kesempatan menaikkan harga beras ini termasuk anak-anak syarikat BERNAS di Sabah dan Sarawak yang mengumumkan kenaikan harga beras.

BERNAS merupakan pengimport tunggal dalam masa sama pembekal beras kepada syarikatnya namun menaikkan harga beras diedarkan ke Sabah Sarawak pasti mengundang bencana kepada BERNAS. 

 

SAZARICE SDN BHD & SABARICE SDN BHD – BERAS CORPORATION SDN BHD

Notis kenaikan harga beras Sabarice baru-baru ini mengundang kegusaran rakyat sehingga Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan GRS menjadi mangsa sedangkan ini semua pengeluar BERNAS.

Sazarice Sdn Bhd ditubuh Ogos 1997 bagi pengedaran beras di seluruh kawasan pantai timur dan barat Sabah.

Manakala Sabarice Sdn Bhd ditubuhkan 2017 untuk pengedaran beras ke pantai timur Sabah. Kumpulan anak syarikat BERNAS ini dikenali sebagai Kumpulan Sazarice. Beroperasi di KKIP sejak 2019 dengan keluasan 5 ekar Kumpulan Sazarice dikatakan sudah menjadi pengedar beras No.1 di Sabah. Jenis  beras yang diedarkan Kumpulan Sazarice seperti Cap Anggur, roda dan lain-lain lagi. Rujuk di bawah.

 

 

Semakan menunjukkan kedua-dua syarikat ini sahamnya dipegang oleh Beras Corporation Sdn Bhd anak syarikat Padiberas Nasional BHD (BERNAS).

Pengarah Sabarice Sdn Bhd ialah Datuk Haji Hasni Harun (Malakoff), Mohd Kamal Airein Mohd Kaus (Head, Strategic Partnership BERNAS) dan Zulkiflee Abdul Rahman.

Aset semasa syarikat RM65.3 juta dan Liabliti semasa RM17.6 juta. Hasil tahunan ialah RM198.8 juta dan keuntungan selepas cukai ialah RM5.8 juta.

Pemegang saham terbesarnya Beras Corporation Sdn Bhd pula mempunyai 1.5 juta saham.

 

Sazarice, Sabarice dan Beras Corporation anak syarikat BERNAS

 

 

 

Lembaga Pengarah Beras Corporation Sdn Bhd ialah Khairul Anwar bin Pharo (Ketua Pengurusan Gudang Bernas -Malaysia Timur), Mohd Kamal Eirein Mohd Kaus (Head, Strategic Partnership BERNAS) dan Zulkiflee Abdul Rahman.

Pemegang sahamnya ialah Menteri Kewangan Malaysia RM1 dan Padiberas Nasional BHD (BERNAS) 30 juta saham.

Aset semasa RM581.8 juta, liabliti semasa RM537.2 juta dengan hasil tahunan lebih RM1 bilion. Keuntungan sebelum cukai RM11.9 juta dan selepas cukai RM9.3 juta. Sejak awal syarikat ini tidak pernah rugi.

 

Tindakan Kumpulan Sazarice menaikkan harganya di Sabah sangat tidak wajar memandangkan syarikat monopoli ini tidak pernah rugi sekalipun mengumumkan kos import mereka meningkat. BERNAS yang menguasai beras tempatan dan import sepatutnya mencari jalan memperbanyakkan keluaran dan pengedaran bukan dengan cara menaikkan harga kepada rakyat Sabah.

Akhirnya yang dipersalahkan ialah Ketua Menteri dan Kerajaan GRS wal ini pengeluar beras terbesar ini bukan milik Sabah

Sudah tiba masa Kerajaan Negeri Sabah mengambil kepentingan dalam Kumpulan Sazarice /Sabarice agar BERNAS tidak sewenangnya menaikkan harga.

Atau Kerajaan mengambil tanggungjawab mengambil alih pengedaran monopoli Kumpulan Sazarice daripada BERNAS ini dengan melantik syarikat baru atau agensi yang boleh mengurangkan monopoli beras di Sabah.

Dengan aset, hasil tahunan dan dana BERNAS tiada siapa syarikat mampu melawan anak syarikat BERNAS ini.

Kerajaan negeri perlu mengambil langkah segera meningkatkan tahap sara diri beras tempatan  bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import dari negeri atau negara lain.

Oleh itu pengumuman Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah bagi membangunkan industri padi serta beras itu amat tepat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah itu dijangka dapat meningkatkan paras tahap sara diri (SSL) beras negeri Sabah kepada 60 peratus menjelang tahun 2030 .

Pada ketika ini, SSL beras negeri Sabah berada pada paras 23 peratus manakala 77 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import daripada negara seperti China, Vietnam, Thailand, Pakistan dan negara asia lain namun pengimport tunggal ialah BERNAS. 

 

Serangan  Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah terhadap BERNAS!

Berang dengan monopoli BERNAS, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah menggesa Sabah harus menguruskan import berasnya sendiri kerana landskap geografi dan sosialnya yang unik memerlukan pendekatan yang lebih disesuaikan untuk menguruskan komoditi penting itu.

“Sudah tiba masanya untuk Sabah membebaskan diri daripada kekangan monopoli satu entiti yang telah lama membentuk pasaran tempatan kita.

“Saya percaya perubahan ini boleh merangsang persaingan dan membawa kepada harga beras yang lebih stabil, dan mungkin lebih rendah, bagi pengguna di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jeffrey membuat cadangan itu susulan pengguna di seluruh Sabah bimbang kerana harga beras putih import dijangka meningkat sehingga 36% seperti yang diumumkan oleh BERNAS.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata kenaikan harga yang begitu ketara bukan sahaja mengganggu kestabilan belanjawan isi rumah tetapi juga menjejaskan kesejahteraan keluarga berpendapatan rendah.

“Bernas mesti telus dalam mekanisme penetapan harga dan tahap stok berasnya. Orang ramai berhak mengetahui bagaimana harga ditentukan dan apakah langkah yang diambil untuk menstabilkan pasaran,” katanya.

Selain itu, Jeffrey berkata BERNAS juga perlu mengeluarkan stok tambahan mereka daripada rizab mereka kerana ini bukan hanya aset perniagaan.

“Mereka adalah sumber awam, terutamanya pada masa permintaan yang meningkat atau ketidakstabilan pasaran seperti sekarang. Sudah tentu semua perniagaan ingin menjana keuntungan, tetapi BERNAS sedang menangani perkara yang penting. Keuntungan tidak boleh datang dengan mengorbankan keperluan asas rakyat,” katanya.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Sabah mengimport 290,000 metrik tan beras, termasuk rizab, pada 2021 tetapi hanya mengeluarkan 22,000 metrik tan beras dalam negara.

Tindakan BERNAS menaikkan harga berasnya di Sabah tanpa berbincang dengan kerajaan negeri adalah satu kesilapan besar yang mungkin menyebabkan monopoli BERNAS akan dikurangkan di Malaysia Timur atau bakal dinyahkan dari bumi Sabah. Tan Sri Syed Moktar dan BERNAS mempunyai beban besar untuk membetulkan kesilapan BERNAS ini.

 

5 Comments