Wanita GRS digesa tingkatkan perpaduan, bentuk pasukan kuat
17:09 Sep 11, 2023  |  By SabahKini2
Wanita GRS digesa tingkatkan perpaduan, bentuk pasukan kuat

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata jentera parti khususnya Wanita GRS tidak boleh leka, sebaliknya perlu terus bekerja untuk rakyat.

TUARAN: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digesa supaya terus meningkatkan perpaduan sedia ada untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan parti.

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata jentera parti khususnya Wanita GRS tidak boleh leka, sebaliknya perlu terus bekerja untuk rakyat.

"Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita.

"Sebab itu, peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar sekarang. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini, " katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Tuaran semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Flovia Ng (STAR); Datin Mary Yong (PBS), Norizah Mohammad Noor (SAPP), Puan Sri Diana Diego (Usno), Glenna Wong Kuen Yin (LDP), Norizian Dumit (PHRS), wakil Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh, Penolong Setiausaha GRS, Salmah Sait serta ahli jawatankuasa GRS Wanita Sabah.

Azizah menambah, dengan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua wanita komponen parti GRS insya Allah akan terus menjadi satu pasukan yang kuat.

Dalam mesyuarat itu, Azizah membertahu Wanita GRS telah menetapkan tarikh untuk siri Jelajah Wanita GRS ke zon-zon sehingga hujung tahun. Ini sebagai salah satu usaha mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

“Wanita GRS akan menubuhkan jentera GRS di setiap kawasan zon-zon seluruh Sabah dan akan mengadakan kursus-kursus untuk jentera Wanita GRS,” katanya.

Comment