Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, KIAR JPSM Sabah adalah program pertama dalam usaha menyebarluas mesej antirasuah kepada pelajar aliran TVET.
PAPAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan penghargaan terhadap usaha jurulatih Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah melaksanakan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat Institut Latihan Teknik Dan Perdagangan (ILTP) di sini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali semasa mengadakan lawatan kerja dan pemantauan di Kampus ILTP Papar berkata KIAR JPSM Sabah adalah program pertama dalam usaha menyebarluas mesej antirasuah kepada pelajar aliran TVET sejak diperkenalkan pada 9 Julai 2021.
"Pelaksanaan ini juga menjadi penanda aras kepada usaha yang sama melibatkan institusi TVET lain dibawah Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Kursus KIAR bersama Pengarah JPSM Sabah, Dg Norsiah Pg Duraman.
Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha JPSM dan semua jurulatih ILTP Papar kerana komited mendedahkan KIAR kepada pelajar.
"Maklumbalas daripada jurulatih dan pelajar seperti mana dibentangkan adalah sangat baik.
"SPRM mengambil maklum cadangan menambahbaik modul dan kaedah pengajaran agar subjek yang dikongsi boleh memberi nilai tambah bukan sahaja bagi tujuan akademik, malah sebagai asas kepada permulaan kerjaya atau menjalankan perniagaan kelak," katanya.
Tambahnya tugas memerangi rasuah bukan hanya terletak kepada SPRM semata-mata tetapi semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk melaksanakannya.
"Sekiranya usaha ini dipergiat dan dilakukan secara bersama, tidak mustahil kes rasuah akan berkurangan dan Malaysia boleh bebas dari rasuah," katanya.
Dalam pada itu, Norazlan turut dibawa melawat kelas KIAR yang sedang berlangsung dan berpeluang menyampaikan kata-kata semangat kepada 50 pelajar mengenai halatuju program dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kemajuan negara yang bersih dari rasuah.
Hadir sama, Timbalan Pengarah SPRM Sabah, Alexander S Kunghi dan Ketua Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Mohd Nur Lokman Samingan.