Pemimpin PH nafi Musa Aman ketuai PH Sabah
12:09 Sep 16, 2023  |  By SabahKini2
Pemimpin PH nafi Musa Aman ketuai PH Sabah

PH Sabah menafikan dakwaan bekas ketua menteri Musa Aman akan mengetuai gabungan itu. PH dalam kenyataan berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuaratnya.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Sabah menafikan laporan media yang mendakwa bekas ketua menteri Musa Aman akan mengetuai gabungan itu.

PH dalam kenyataan berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuaratnya.

“PH Sabah akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincang perkara ini termasuk hala tujunya menjelang pilihan raya negeri yang bakal diadakan nanti,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi PH Sabah Christina Liew, Presiden UPKO Ewon Benedick, Pengerusi PKR Sabah Sangkar Rasam, Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon dan Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu.

Terdahulu, sebuah media melaporkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim didakwa sedang mencari jalan untuk meletakkan Musa sebagai peneraju gabungan itu di Sabah.

Musa, bekas ketua Ummo Sabah menjadi ketua menteri negeri itu bermula 2003 sehingga 2018 apabila Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU14.

Pada 9 Jun 2020, Mahkamah Tinggi membebaskan Musa daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang berkaitan konsesi balak di negeri itu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas pendakwa raya menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Pada 5 Nov 2018, Musa minta dibicarakan terhadap 35 tuduhan rasuah dengan lima daripadanya kemudian digugurkan.

Beliau dituduh menerima sogokan antara AS$28,500 dan AS$16,148,547 dari pelbagai individu 12 hingga 16 tahun lalu.

Beliau juga dikenakan 16 tuduhan pengubahan wang kerana didakwa menerima AS$37 juta daripada pelbagai individu dan syarikat dari Jun 2006 hingga Mac 2008.

Sebulan selepas dibebaskan, Musa mengetuai 33 Adun cuba menjatuhkan kerajaan Sabah pimpinan Warisan dengan mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) namun gagal apabila Ketua Menteri Shafie Apdal membubarkan DUN.

Musa tidak mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga pada PRN yang menyaksikan kerjasama Perikatan Nasional dan BN menewaskan Warisan.

 

Comment