PUSPANITA berperanan bantu sebar dasar kerajaan
14:09 Sep 25, 2023  |  By SabahKini2
PUSPANITA berperanan bantu sebar dasar kerajaan

PUSPANITA Sabah memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menyebar luas dasar serta hasrat kerajaan secara terus kepada rakyat, kata isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.

KOTA KINABALU: Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan Sabah memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menyebar luas dasar serta hasrat kerajaan secara terus kepada rakyat. Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata ia termasuklah segala perancangan kerajaan negeri dan inisiatif yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Oleh kerana sebahagian ahli PUSPANITA adalah penjawat awam dan pelaksana dasar kerajaan, justeru mereka memainkan peranan penting untuk menyampaikan segala dasar serta inisiatif kerajaan negeri sehingga ke peringkat akar umbi. 

“Dalam masa sama, saya juga menyarankan PUSPANITA supaya memperluas kerjasama atau jalinan strategik dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat dalam menjayakan sebarang program yang memberi manfaat kepada ahli sendiri dan seterusnya golongan sasar,” katanya pada Majlis Jamuan Makan Malam sempena Sambutan 40 Tahun (Ruby Puspa Nite) PUSPANITA cawangan Sabah, di sini pada Ahad.

Dalam konteks memperkasakan wanita, Juliah yang juga Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah berkata, warga PUSPANITA perlu menimba ilmu, meluaskan ilmu pengetahuan, menggilap potensi dan bakat selain meningkatkan daya kepimpinan. 

“Saya percaya siikap bekerjasama, berpandangan jauh dan saling mempercayai antara satu sama lain juga perlu dijadikan inti pati penting oleh setiap anggota dalam memastikan PUSPANITA Sabah disegani selain menjadi contoh kepada pertubuhan lain.

“Semoga program atau majlis seperti ini dapat dibawa ke daerah lain bagi memberi peluang mereka melaksanakan program di samping menghargai ahli PUSPANITA di daerah dengan lebih dekat.

“Saya juga meminta kepada semua ahli, bekerjalah dengan penuh ikhlas, berintegriti dan jauhi rasuah tak kiralah di mana pun anda berada. 

"Jagalah nama baik persatuan dan kementerian, jabatan serta agensi tempat masing-masing bertugas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, majlis pada malam ini bukan saja meraikan 40 tahun PUSPANITA di negeri ini, tetapi sebagai platform untuk menghimpunkan ahli-ahlinya dari seluruh negeri di samping menghargai ahli PUSPANITA dalam menjayakan aktiviti yang dirancang sama ada diperingkat induk mahu pun daerah.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian PUSPANITA Sabah dan antara kejayaan yang saya nampak ialah terbinanya Wisma PUSPANITA di Tanjung Aru yang mana bangunan ini digunakan oleh ahli-ahli PUSPANITA sebagai pusat aktiviti seperti mesyuarat, majlis sambutan berskala kecil dan lain-lain. 

“Di daerah juga tidak kurang hebatnya, apabila pengerusi turut menyediakan fasiliti sedemikian dengan mentransformasikan rumah kerajaan kepada rumah PUSPANITA malah ada PUSPANITA di daerah mempunyai kafe sendiri,” katanya. 

Pencapaian lain PUSPANITA Cawangan Sabah dalam masa empat dekad antaranya ialah Anugerah Cawangan Cemerlang 2008 Peringkat Kebangsaan, Anugerah Cawangan Berprestasi (Negeri) Tahun 2013, Anugerah Cawangan Berprestasi PUSPANITA Peringkat Cawangan Tahun 2017, Anugerah Cawangan PUSPANITA Paling Aktif Media Sosial Tahun 2022 dan Anugerah Cawangan Berprestasi Tinggi 2023.

Hadir sama Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Seri Dr. Hajah Nuinda Alias.

Comment