Sabah miliki potensi besar bangun ekonomi dan sosial melalui harta Wakaf
15:09 Sep 25, 2023  |  By SabahKini2
Sabah miliki potensi besar bangun ekonomi dan sosial melalui harta Wakaf

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan harta wakaf di Sabah perlu dipelbagaikan dan dikembangkan dari semasa ke semasa agar manfaatnya dapat membangunkan komuniti Islam secara komperhensif.

KOTA KINABALU: Sabah mempunyai potensi besar dalam membangunkan ekonomi dan sosial masyarakatnya melalui perancangan projek pembangunan harta wakaf yang telah serta bakal dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan harta wakaf di Sabah perlu dipelbagaikan dan dikembangkan dari semasa ke semasa agar manfaatnya dapat membangunkan komuniti Islam secara komperhensif. 

“Ia kerana Wakaf memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai tujuan sosial, agama dan pendidikan. Sebenarnya, Wakaf adalah salah satu sumber ekonomi dan pembangunan sosial umat Islam.

"Malah, transaksi wakaf telah memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan ekonomi umat Islam di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Wakaf dan Zakat serta Pelancaran Wakaf Tunai Kesihatan dan Klinik Bergerak Pertama Waqaf An-Nur–Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan kepada MUIS untuk terus memperkukuhkan, pemberdayaan dan pemerkasaan potensi wakaf dengan memberikan penekanan terhadap kerjasama serta keterlibatan bersama pelbagai pihak pemain industri wakaf di Malaysia.

“Termasuklah daripada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, entiti perniagaan korporat yang ingin sama-sama menyumbang kepada usaha itu ke arah menjadikan Sabah sebagai negeri mesra serta celik ibadah wakaf menjelang 2030”, tegasnya.

Hajiji berkata, Wakaf terus berkembang dengan hebatnya di zaman kegemilangan Islam sehingga wujudnya begitu banyak universiti, sekolah, hospital serta fasiliti-fasiliti awam lain yang dibina berasaskan kaedah serta model wakaf.

Beliau berkata, antara yang termasyhur adalah Universiti Al-Azhar yang dibangunkan serta diurus dengan menggunakan wakaf secara keseluruhannya. Sehingga ke hari ini, kesinambungan pembangunan wakaf semakin pesat berkembang dan berlangsung dengan jayanya di serata negara Islam. 

Menurutnya, di Sabah MUIS adalah pemegang amanah tunggal bagi semua hartanah wakaf dan Rang Undang-Undang Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) 2018 menyatakan dengan jelas dibawah Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan bahawa: 'Majlis merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua jenis mawquf'.

“Semoga dengan semua usaha yang diambil ini akan memastikan industri wakaf dapat terus diperkukuhkan di negeri ini, mengikut acuan masa kini serta berlandaskan hukum syarak.

"Saya berharap kesan daripada usaha ini boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat yang akhirnya dapat menjadikan wakaf sebagai wadah pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi ummah," katanya.

Hajiji juga mengucapkan tahniah kepada Waqaf An-Nur Corporations dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad kerana menyokong inisiatif pembangunan wakaf kesihatan di negeri Sabah, menerusi termeterainya usahasama antara MUIS, Waqaf An-Nur dan KPJ Sabah Specialist Sdn.Bhd bagi mewujudkan Klinik Bergerak Pertama Waqaf An-Nur – MUIS di Sabah. 

Katanya, klinik bergerak itu adalah sumbangan wakalah (wakil) zakat perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan berharap perkhidmatan klinik itu bukan hanya di sekitar Kota Kinabalu sahaja, sebaliknya turut diperluaskan ke daerah lain di Sabah, agar lebih ramai akan menerima manfaatnya.

Comment