Sabah akan terus memperkasa budaya STIE
14:09 Sep 27, 2023  |  By SabahKini2
Sabah akan terus memperkasa budaya STIE

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini kerana kadar penglibatan pelajar di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya sains tulen dilihat semakin menurun di negara ini.

Kota Kinabalu: Pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan pelajar di negeri ini akan terus diperkasakan bagi menarik minat mereka dalam bidang berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini kerana kadar penglibatan pelajar di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya sains tulen dilihat semakin menurun di negara ini.

“Kerajaan Negeri memandang serius senario ini memandangkan kita perlu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri mensasarkan 60:40 iaitu 60 peratus Aliran Sains dan 40 peratus Aliran Sastera. Ini kerana kadar penglibatan pelajar STEM pada tahun ini hanya mencapai 28 peratus. Justeru, pelbagai strategi dilaksanakan bagi memastikan sasaran ini tercapai”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation” Tour in Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Tanjung Aru di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Harun Durabi.

Hajiji berkata, di peringkat Kerajaan Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) telah menggubal Pelan Strategik 2022-2025 sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE di Sabah.

Katanya, antara program yang dilaksanakan ialah Program STEM Fiesta bersama 24 Pejabat Pendidikan Daerah, Karnival Sains Sabah, Kembara Sains Borneo dan Majlis Anugerah Sains Sabah.

“Setakat ini kesemua 1,296 buah sekolah telah mendapat manfaat daripada program-program yang telah dilaksanakan.

“Saya berharap agar KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025 di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, STI telah dikenalpasti sebagai salah satu pemangkin penting untuk memacu pembangunan sosioekonomi di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) dan juga Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, penekanan kepada STI sebagai pemangkin penting pembangunan sosioekonomi yang lebih strategik dan dinamik seiring dengan trend global, akan berupaya meningkatkan pengetahuan, inovasi, kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui KSTI sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI termasuk memperkasakannya dari masa ke semasa di Sabah.

Menurutnya, beberapa kolaborasi telahpun dimeterai dengan beberapa kementerian di peringkat Persekutuan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Sumber Manusia (KSM) disamping kolaborasi strategik dengan institusi pendidikan awam seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), selain swasta.

Menyentuh Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation” Tour in Sabah, Hajiji berkata, Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia dan ketiga di Asia yang melaksanakan program kembara pameran sains interaktif itu.

Katanya, KSTI dengan kerjasama China Science Technology Museum dan Guangxi Science Technology Museum akan mengadakan siri jelajah pameran interaktif sains bergerak itu di 14 daerah terpilih. Kerjasama ini akan berlangsung selama tiga tahun sehingga 26 September 2026.

“Pameran ini amat bermakna kerana Kerajaan Republik Rakyat China telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif baharu dalam bidang STI, dan berada di kedudukan ke-11 dalam Indeks Inovasi Global 2022. Keadaan ini telah meletakkan mereka sebagai kuasa besar sains dan teknologi terkemuka dunia”.

“Pameran ini juga salah satu inisiatif KSTI memupuk minat pelajar terhadap STEM di negeri ini, selain ia salah satu teras dalam agenda dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Saya juga mahu peluang kerjasama dengan China diperluaskan khususnya dalam bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan lain-lain teknologi pada masa hadapan,” katanya.

Comment