Perasmian Gagasan Rakyat Ranau dihadiri lebih 3,000 penduduk
14:10 Oct 03, 2023  |  By SabahKini2
Perasmian Gagasan Rakyat Ranau dihadiri lebih 3,000 penduduk

Majlis Perasmian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tersebut dirasmikan Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun.

RANAU: Lebih 3,000 penduduk menghadiri Majlis Perasmian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Karanaan dan Paginatan.

Majlis itu dirasmikan Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin serta pemimpin Gagasan Rakyat Ranau yang lain.

Masidi berkata, parti itu baru bermula sejak akhir tahun lalu dan merupakan satu perjalanan politik yang masih jauh ke hadapan.

"Ramai diantara kita di sini pernah menjadi ahli parti yang berbeza pada masa lalu. Intinya ialah politik adalah sesuatu yang tidak statik tetapi dinamik.

"Ia berubah dari satu zaman ke zaman yang lain, dari tahun ke tahun. Perjalanan politik kita adalah untuk mengambil kira perjuangan kita adalah relevan dalam setiap perubahan politik di negara dan negeri ini," katanya

Masidi berkata, sudah tiba masanya untuk semua masyarakat yang sebelum ini menumpukan perhatian kepada politik negara, memberi perhatian kepada Sabah dengan menuntut serta mempertahankan hak rakyat negeri ini.

Menurutnya, ini antara rasional mengapa rakyat Sabah berhijrah ke parti tempatan yang memutuskan bahawa rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan masyarakat negeri ini diutamakan.

Masidi menyeru kepada semua ahli Gagasan Rakyat agar terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sekali gus menyumbang kepada parti.

"Jika kita percaya parti kita adalah parti yang baik, jangan contohi apa yang dilakukan oleh pihak lain kepada kita, kerana kita mahu parti kita lebih baik daripada parti mereka.

"Kerana itu, kita memerlukan banyak kesabaran semasa melakukan yang terbaik," katanya.

Comment