Kerajaan beri subsidi beras Sabah, Sarawak berita baik kepada pengguna
14:10 Oct 03, 2023  |  By SabahKini2
Kerajaan beri subsidi beras Sabah, Sarawak berita baik kepada pengguna

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata usaha diambil kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu sangat diharapkan pengguna di Sabah.

KOTA KINABALU: Langkah kerajaan memberi subsidi RM950 bagi setiap tan beras putih import (BPI) di Sabah dan Sarawak merupakan satu berita baik, terutama kepada golongan berpendapatan rendah di dua negeri itu.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata usaha diambil kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu sangat diharapkan pengguna di negeri ini.

Beliau berkata, pemberian subsidi itu juga melegakan pengusaha makanan dalam usaha mengurangkan kos ditanggung mereka berikutan kenaikan harga BPI ketika ini.

"Sebagai pengguna, kita mengalu-alukan pengumuman Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan subsidi sebanyak RM950 satu tan beras kepada Sabah dan Sarawak bermula 5 Oktober ini.

"Ia tentunya berita baik kepada golongan B40 dan pengusaha makanan dalam usaha menurunkan kos sara hidup kerana beras adalah keperluan asas kepada setiap isi rumah," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pemberian subsidi BPI.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengumumkan kerajaan bersetuju memberi subsidi sebanyak RM950 setiap tan bagi bekalan BPI di Sabah dan Sarawak, mulai Khamis ini.

Menerusi pemberian subsidi itu, harga runcit BPI di kedua-dua negeri akan turun kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram (kg).

Langkah berkenaan diambil memandangkan pengeluaran beras putih tempatan (BPT) di Sabah dan Sarawak adalah terhad.

Sementara itu, David berkata, kenaikan harga BPI di Sabah memberi kesan kepada keseluruhan kos sara hidup rakyat negeri ini.

"Kita juga menggesa orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi mengenai kekurangan bekalan beras bagi mengelak pembelian panik," katanya.

Harga BPI di Sabah mengalami kenaikan hampir RM10 bagi kampit 10kg kepada sekurang-kurangnya RM36 berbanding di bawah RM28 sebelum peningkatan harga BPI bulan lalu.

Ketika ini pengguna di Sabah bergantung sepenuhnya kepada bekalan BPI memandangkan pengeluaran BPT hanya sekitar 25% daripada keperluan rakyat negeri ini.

Comment