Aiskrim diperbuat daripada plastik pertama dicipta
15:10 Oct 03, 2023  |  By SabahKini2
Aiskrim diperbuat daripada plastik pertama dicipta

Projek bertajuk Guilty Flavours itu diilhamkan oleh kekecewaan Eleonora Ortolani pereka muda mengenai plastik kitar semula.

London: Pereka di United Kingdom (UK) mendakwa menjadi individu pertama membuat aiskrim perisa vanila daripada plastik kitar semula.

Oddity Central melaporkan, rasa aiskrim ini dikatakan seperti aiskrim berperisa vanila biasa.

Pembuatan aiskrim itu sebahagian daripada projek tahun akhir seorang penuntut Central Saint Martins Design School, sekolah seni dan rekaan di sini.

Penuntut itu, Eleonora Ortolani mahu melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh individu lain sebelum ini.

Projek bertajuk Guilty Flavours itu diilhamkan oleh kekecewaan pereka muda itu mengenai plastik kitar semula. Lazimnya, ia dijadikan produk yang tidak boleh dikitar semula lagi, kerana dicampur dengan resin atau bahan lain, yang hanya memburukkan lagi masalah sampah plastik.

Selepas mengetahui spesies cacing yang boleh mencerna beg plastik, Ortolani mula tertanya-tanya sama ada ada cara manusia boleh makan plastik dan mengurai serta menghapuskannya untuk selamanya.

"Saya tidak pernah membayangkan saya sebenarnya boleh membuat makanan daripada plastik.

"Sukar bagi saya untuk mencari seorang saintis yang benar-benar berminat untuk bekerja dengan saya mengenai (idea ini)," kata Ortolani kepada Majalah Dezeen.

Akhirnya, Ortolani menemui saintis makanan dan penyelidik dari Universiti Metropolitan London, Joanna Sadler yang membantunya mensintesis vanillin sintetik daripada plastik.

Vanillin adalah perasa makanan biasa dijual di pasar raya dan digunakan sebagai alternatif yang lebih murah kepada vanila. Ia dihasilkan daripada bahan mentah yang sama seperti plastik - minyak mentah. Jadi, apa yang mereka perlukan hanyalah enzim untuk memecahkan ikatan kuat antara molekul dalam struktur plastik, dan satu lagi untuk mensintesis molekul ini menjadi vanillin.

Ketika enzim pertama memecahkan rantaian molekul itu, ia bukan lagi plastik atau polimer.

Comment