Polis Kontinjen Sabah rancang atasi masalah koloni PTI
15:10 Oct 03, 2023  |  By SabahKini2
Polis Kontinjen Sabah rancang atasi masalah koloni PTI

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya sedang memantau kewujudan koloni yang dikatakan mencecah lebih 500 koloni oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah melakukan beberapa perancangan bagi menangani masalah kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya sedang memantau kewujudan koloni yang dikatakan mencecah lebih 500 koloni oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Apa yang dikatakan oleh ESSCOM berkenaan koloni PTI ini ada kebenaran dan hasil maklumat juga mendedahkan wujudnya beberapa koloni PTI di seluruh Sabah.

“Kita sedang memantau kewujudan koloni yang dinyatakan pihak ESSCOM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang dan akan melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan keadaan ini dapat ditangani sebaik mungkin.

“Usaha itu termasuklah membuat perancangan dengan mengarahkan semua daerah turut melakukan tindakan sama berkaitan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Motosikal Berkuasa Tinggi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini.

Bercakap mengenai program terbabit, Jauteh berkata sejumlah lapan buah motosikal berkuasa tinggi disumbangkan oleh kerajaan Sabah kepada Polis Kontinjen Sabah untuk penugasan khas.

“Kita akan memastikan kesemua lapan buah motosikal berkuasa tinggi ini akan digunakan untuk penugasan maksimum bagi memastikan keselamatan di Sabah berjalan lancar.

“Penugasan motosikal ini juga akan dimulakan Jumaat depan,” katanya.

Dalam pada itu katanya sumbangan inu juga mampu mengatasi masalah kekurangan aset terutama motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi Kontinjen Sabah.

“Kita berhadapan kekurangan penggunaan motosikal seiring perkembangan pembangunan negara yang menyebabkan kawasan semakin luas serta jalan raya turut bertambah.

“Ini menyebabkan motosikal sedia ada tidak dapat menampung keperluan sepenuhnya terhadap penugasan bagaimanapun masih boleh digerakkan bagi memastikan keadaan lalu lintas di Sabah dapat ditangani.

“Dalam masa sama kita juga mampu menggerakkan motosikal bagi tujuan khidmat pengiring trafik walaupun berhadapan masalah kekurangan aset,” katanya.

Motosikal berkuasa tinggi dari model Soft Tail Low Rider St Harley Davidson dan dikuasakan dengan enjin jenis V-Twin berkapasiti 1,923 CC itu bernilai RM1.076 juta yang diagihkan dalam dua fasa sumbangan. 

Motosikal ini juga mempunyai kekuatan enjin 168 Nm dengan 3500 tORUQE (RPM) dan dilengkapi dengan 105hp kuasa kuda bersamaan 5020 RPM dan sering digunakan sebagai pengiring trafik di negara luar seperti Amerika Syarikat bagaimanapun pertama kali digunakan untuk penugasan pengiring prestige di Sabah.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

Comment