Sabah saran kontraktor tempatan bekerjasama dengan Petronas
15:10 Oct 06, 2023  |  By SabahKini2
Sabah saran kontraktor tempatan bekerjasama dengan Petronas

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, majlis ini menandakan satu lagi peristiwa penting dengan penyertaan 25 syarikat tempatan dalam industri OGSE iaitu penambahan 10 lagi syarikat sejak tahun lepas.

KOTA KINABALU: Kontraktor tempatan digesa bekerjasama dengan Petronas bagi memastikan perkongsian hasil minyak dan gas yang lebih besar untuk Sabah dalam keseluruhan rantaian nilai, termasuk huluan, Gas Asli Cecair (LNG), Petchem dan perkhidmatan minyak dan gas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama ini penting berikutan kerajaan negeri dan Petronas sudah menetapkan sasaran sama.

“Saya harapkan kepimpinan dan komitmen Petronas berterusan untuk menyokong penyertaan kontraktor tempatan dalam perniagaan perkhidmatan minyak dan gas," katanya semasa memperingati penyertaan vendor Sabah dalam sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) di sini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, Peguam Negara Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas Datuk Bacho Pilong.

Beliau berkata majlis ini menandakan satu lagi peristiwa penting dengan penyertaan 25 syarikat tempatan dalam industri OGSE iaitu penambahan 10 lagi syarikat sejak tahun lepas.

"Ini adalah kemuncak kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan Petronas yang menggariskan potensi besar apabila kedua-dua pihak berganding bahu untuk satu tujuan," katanya.

Beliau berkata pendekatan perundingan antara kerajaan negeri dan Petronas dalam membangunkan vendor tempatan adalah bukti terhadap komitmen kedua-dua pihak dalam memupuk dan memperkasa vendor tempatan menyertai industri minyak dan gas secara kompetitif tanpa menjejaskan keselamatan, kualiti, kos dan jadual. 

"Usaha ini mencerminkan visi bersama untuk memanfaatkan pengetahuan, bakat dan komitmen dalam mencipta peluang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan kemajuan teknologi," katanya.

Hajiji berkata vendor tempatan menunjukkan keupayaan dan mendepani cabaran berterusan untuk kekal cemerlang dalam industri yang sangat kompetitif.

Beliau berkata kejayaan ini bukan sekadar kisah individu tetapi testimoni kepada potensi Sabah untuk menjadi kuasa besar dalam sektor minyak dan gas.

"Pencapaian ini sudah pasti mampu merangsang inovasi dan memacu pertumbuhan industri tempatan kita serta pemain industri dalam menghasilkan situasi menang-menang untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat.

“Dalam usaha bergerak bergerak ke hadapan, penting untuk kita mengekalkan komitmen terhadap pemikiran berdaya saing dan mampan. 

“Prinsip ini bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang tetapi juga memastikan bahawa manfaat melalui kerjasama ini dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat Sabah selain mewujudkan masa depan yang lebih cerah dan makmur untuk negeri kita," katanya.

Comment