114 jurutera, penolong jurutera dilantik perkukuh sistem penyampaian pejabat daerah
16:10 Oct 09, 2023  |  By SabahKini2
114 jurutera, penolong jurutera dilantik perkukuh sistem penyampaian pejabat daerah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu juga bagi memastikan projek-projek yang dirancang terutama di bawah peruntukan RM500,000.

KOTA KINABALU: Pelantikan seramai 114 jurutera dan penolong jurutera dalam kalangan belia di negeri ini satu inisiatif kerajaan dalam memperkukuh sistem penyampaian khususnya unit teknikal di setiap pejabat daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu juga bagi memastikan projek-projek yang dirancang terutama di bawah peruntukan RM500,000 bagi pejabat daerah dapat disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.

Katanya, pelantikan berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM10.9 juta untuk perjawatan di Sabah dan RM100.8 juta secara keseluruhan di peringkat nasional.

Menurutnya, inisiatif itu melibatkan pelantikan Pegawai Teknikal 'Contract of Service' (CoS) bagi tempoh tiga tahun di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). 

"Seramai 55 orang daripada keseluruhan perancangan penempatan 114 orang merangkumi tiga pegawai teknikal bagi setiap 38 pejabat daerah di seluruh Sabah.

"Proses penempatan ke pejabat-pejabat daerah akan diselaraskan bersama di antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM) Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Teknikal CoS Bagi Penempatan di Seluruh Pejabat Daerah Negeri Sabah di sini hari ini.

Armizan berkata, peruntukan untuk inisiatif berkenaan juga menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan, walaupun pejabat daerah adalah agensi di bawah kerajaan negeri.

"Namun melalui usaha ini, kita yakin kerjasama Persekutuan dan kerajaan negeri dapat memastikan rakyat beroleh manfaat daripada pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang disediakan dan dirancang oleh kerajaan.

"Pelantikan ini juga susulan daripada resolusi Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat 2023 anjuran ICU JPM yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lepas.

"Dalam konvensyen itu, Perdana Menteri meletakkan fokus untuk memperkasakan fungsi dan peranan pejabat daerah dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan Persekutuan di peringkat akar umbi," jelasnya.

Selain itu katanya, pelantikan berkenaan berdasarkan kepada kelayakan sijil akademik tanpa mengira sama ada graduan baharu atau yang sudah berkhidmat.

Beliau berkata, syarat yang ditetapkan bagi pelantikan itu dibuka kepada mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

Comment