Hajiji nafi dakwaan salah guna kuasa perjanjian tanah di Kudat
00:10 Oct 10, 2023  |  By SabahKini2
Hajiji nafi dakwaan salah guna kuasa perjanjian tanah di Kudat

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, semua urusan permohonan melalui prosedur diperlukan dan dilakukan mengikut lunas undang-undang.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyangkal dakwaan tular mengatakan beliau menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan perjanjian tanah di Kudat.

Beliau menegaskan, semua urusan permohonan melalui prosedur diperlukan dan dilakukan mengikut lunas undang-undang.

“Semua permohonan telah melalui prosedur yang diperlukan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.

“Permohonan tanah Yayasan Sabah telah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd dan semuanya dilakukan mengikut undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Hajiji berkata beliau akan memberikan kerjasama penuh berhubung sebarang siasatan mengenai dakwaan itu.

Katanya, siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mengeluarkan dokumen sulit digunakan untuk mengeluarkan dakwaan itu.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga telah dimaklumkan mengenai akaun Facebook yang menyiarkan dakwaan itu yang dilihat mencemarkan nama baiknya.

“Tuduhan itu berniat buruk, bermotifkan politik dan bertujuan untuk memburukkan nama saya. Saya akan berunding dengan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini,” katanya.

Sementara itu, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan membuat laporan polis terhadap dakwaan di Facebook itu berhubung urus niaga tanah melibatkan kerajaan negeri dan seorang ahli perniagaan Sarawak.

Ketua Penerangannya, Nizam Abu Bakar Titingan, berkata ia bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah itu dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Katanya, dakwaan itu penuh dengan fakta rekaan dan semakan dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menunjukkan semua permohonan tanah telah diproses mengikut prosedur sepatutnya.

“Malah, tiada hak milik tanah dikeluarkan untuk empat permohonan tanah yang disebut dalam laman Facebook itu.

“Hantaran pada Facebook itu juga mendakwa ahli perniagaan terbabit dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Hajiji, jadi mesti ada sesuatu yang mencurigakan. Tetapi ahli perniagaan itu juga dilihat rapat dengan bekas ketua menteri daripada Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini,” katanya.

1 Comment