Pembinaan Sekretariat Daerah Kecil Kiulu akan dilaksanakan
16:10 Oct 10, 2023  |  By SabahKini2
Pembinaan Sekretariat Daerah Kecil Kiulu akan dilaksanakan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertindak segera untuk menjadikan daerah ini sebagai daerah kecil dalam tempoh tiga bulan.

KIULU: Pembinaan Sekretariat Daerah Kecil Kiulu yang menelan kos berjumlah RM5 juta bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertindak segera untuk menjadikan daerah ini sebagai daerah kecil dalam tempoh tiga bulan selepas mengambil alih pentadbiran dan memastikan pembinaan sekretariat daerah kecil dilaksanakan.

"Kita akan membangunkan Kiulu sebagai pusat pelancongan kerana kawasan ini mempunyai pengusaha Pelancongan Berasaskan Komuniti terbanyak di Sabah.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai telah berusaha gigih menjadikan daerah kecil ini sebagai hab Pelancongan Berasaskan Komuniti," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), hari ini.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat mahu semua ahli parti untuk sentiasa peka dan berwaspada terhadap budaya fitnah yang semakin berleluasa dalam media sosial.

"Saya mahu semua ahli kita menangkis dakwaan palsu dalam sosial media yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan negeri telah mencapai pelbagai kejayaan tetapi masih terdapat pihak yang cuba menafikan kejayaan ini dengan menyebarkan fitnah.

"Kita tidak boleh membiarkan rakyat terpengaruh dengan fitnah yang diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Pengerusi GRS itu turut menjelaskan bahawa penting kepada Gagasan Rakyat untuk bekerjasama dengan rakan komponen dalam GRS bagi menangkis segala cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan.

Hajiji juga memberikan jaminan akan berjuang untuk semua pihak di Kiulu dan di seluruh Sabah tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan latar belakang.

Comment