Hospital Gaza dipenuhi mangsa serangan Israel
16:10 Oct 11, 2023  |  By SabahKini2
Hospital Gaza dipenuhi mangsa serangan Israel

Kementerian kesihatan Gaza berkata, 765 orang terbunuh dan 4,000 cedera akibat serangan Israel sejak Sabtu lalu.

Gaza: Doktor dan jururawat di hospital Al-Shifa di Gaza, pada Selasa, sibuk merawat ratusan mangsa akibat serangan udara Israel.

Akram al-Haddad, 25, kelihatan kecewa di sisi katil anak saudaranya yang berusia satu setengah tahun.

Bayi itu, Abd al-Rahman al-Dos, cedera dalam serangan udara yang mengorbankan 17 orang termasuk seorang lagi saudaranya iaitu seorang budak lelaki berusia empat tahun.

Dos dan ibu bapanya terselamat daripada pengeboman yang memusnahkan rumah keluarga di Gaza, tetapi bayi itu memerlukan rawatan perubatan segera, kata doktor yang merawatnya.

Doktor itu, Abdallah, yang meminta untuk dikenali dengan nama pertamanya sahaja berkata, "bayi ini memerlukan pembedahan kecemasan untuk kecederaan kepalanya, tetapi mesti menunggu sehingga bilik pembedahan tersedia."

Bagaimanapun katanya, bilik pembedahan sahaja tidak mencukupi.

"Kami perlu memastikan ada bekalan elektrik dan kami mempunyai peralatan yang diperlukan sebelum memulakan sebarang pembedahan," katanya.

Menurut Abdallah, pihaknya mempunyai senarai dengan banyak nama pesakit yang cedera menunggu giliran.

"Sebahagian daripada mereka kehilangan nyawa kerana kekurangan sumber," katanya.

Doktor di bilik kecemasan, Mohammed Ghonim memberitahu AFP, pasukan perubatan menangani "sebilangan besar mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, yang tiba pada masa yang sama."

Beliau berkata, bekalan perubatan, termasuk tangki oksigen, kehabisan di Gaza dan "kami mengalami krisis elektrik dan air."

Doktor itu terganggu oleh ketibaan kumpulan baharu yang cedera iaitu terdiri daripada tiga wanita, dua kanak-kanak, seorang lelaki warga emas dan dua lelaki muda yang dimasukkan ke bilik kecemasan.

Berdekatan dengan mereka, seorang kakitangan sedang menenangkan Ummu Rama al-Hassasneh, yang terbaring di atas katil hospital bersebelahan dengan empat anaknya, berusia tiga hingga enam tahun, semuanya cedera dalam serangan udara Israel yang melanda kawasan kejiranan mereka di Sheikh Ridwan, Gaza.

Rumah keluarga itu rosak teruk apabila sebuah rumah jiran menjadi sasaran pesawat perang Israel, kata Hassasneh kepada AFP.

"Mereka mengebom rumah itu," katanya. "Saya cedera dan kanak-kanak cedera, dan kami dibawa ke sini. Kami sedang menunggu untuk dirawat."

Kementerian kesihatan Gaza berkata, 765 orang terbunuh dan 4,000 cedera akibat serangan Israel sejak Sabtu lalu.

Israel bertindak balas berikutan serangan Hamas di selatan negara itu di mana kumpulan pejuang itu membunuh lebih 900 warga Israel dan warga asing serta menculik berpuluh-puluh lagi.

Comment