KYS tandatangani MoU bersama UA berkaitan tajaan pendidikan pelajar Sabah
17:10 Oct 12, 2023  |  By SabahKini2
KYS tandatangani MoU bersama UA berkaitan tajaan pendidikan pelajar Sabah

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, seramai 120,442 anak Sabah telah berjaya mendapat manfaat daripada tajaan KYS bermula 1967 sehingga tahun lalu.

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa Universiti Awam (UA) dan swasta termasuk Maahad Tahfiz berkaitan tajaan pendidikan untuk pelajar Sabah.

Antaranya yang menandatangi MoU itu termasuklah Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Albukhary International University (AIU).

Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu disaksikan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi berkata, seramai 120,442 anak Sabah telah berjaya mendapat manfaat daripada tajaan KYS bermula 1967 sehingga tahun lalu.

Katanya, tajaan itu melibatkan jumlah sebanyak RM789.3 juta untuk dibelanjakan bagi peringkat pengajian sekolah menengah dan pengajian tinggi.

“Melalui pemeteraian ini, bagi program Tajaan Biasiswa Menengah, Mahaad Tahfiz Negeri Pahang telah memberikan kuota seramai empat orang pelajar Sabah. Kesemua pelajar ini akan mendapat tajaan penuh daripada KYS.

“Manakala bagi program Tajaan Biasiswa Pengajian Tinggi pula, UMS menerusi Fakulti Komputeran dan Informatik telah membuat satu inisiatif untuk para pelajar Sabah kategori B40 dengan mewujudkan program ‘fast-track’ secara penyelidikan sepenuhnya.

“Pelajar yang menyertai program tersebut akan menjimatkan masa selama setahun daripada kebiasaan masa yang diambil untuk menamatkan pengajian di peringkat Sarjana. Dalam pada itu, KYS akan menaja seramai 15 orang pelajar daripada fakulti ini agar mereka dapat menjadi pakar dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Masidi berkata, kerjasama antara UMPSA dan KYS telah terjalin sejak 2015 di mana UMPSA menawarkan program berkembar UMP-Jerman dalam bidang kejuruteraan automotif, mekatronik dan kejuruteraan perniagaan.

Katanya, menerusi kerjasa aini, KYS turut menaja seramai 10 orang pelajar setiap tahun untuk mengikuti program berkembar berkenaan.

Pada majlis yang sama, UMPSA dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) iaitu Institusi Pendidikan milik penuh KYS telah bersetuju untuk meneruskan kerjasama selepas tamat tempoh MoU tersebut pada tahun 2022.

Pelanjutan MoU ini akan melaksanakan program seperti sebelum ini disamping menyediakan laluan pendidikan melalui pemindahan kredit bagi graduan Diploma KTYS yang melanjutkan pengajian ke UMPSA di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Kerjasama itu juga akan diperluaskan dari segi pertukaran ilmu dalam pembangunan program, penyelidikan dan latihan.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kerjasama dengan AIU memberi ruang untuk pelajar Sabah dari kawasan luar bandar ditempatkan di AIU yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Al-Bukhary.

Katanya, KYS bertanggungjawab menyediakan pelajar yang berkelayakan untuk ditemu duga oleh pihak AIU dan semua yuran pengajian dan kos sara hidup pelajar akan dibiaya oleh Yayasan Al-Bukhary.

“Secara tidak langsung kerjasama ini akan menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Sabah serta melahirkan modal insan yang berkaliber dan berkemahiran tinggi.

“Dengan bantuan tajaan pendidikan yang ditawarkan kepada para pelajar akan merapatkan jurang dalam akses kepada pendidikan berkualiti dan memastikan peluang yang sama untuk semua pelajar B40 di Sabah.

“Inisiatif ini akan memperkasakan mereka dengan sumber dan sokongan yang diperlukan untuk mencapai matlamat akademik mereka dan menyumbang kepada pembangunan peribadi dan profesional mereka,” katanya.

Comment