Gaza terputus bekalan elektrik sepanjang hari ini
17:10 Oct 12, 2023  |  By SabahKini2
Gaza terputus bekalan elektrik sepanjang hari ini

Keadaan bertambah runcing apabila tindakan kepungan menyeluruh oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza, turut menjejaskan bekalan air minuman kerana kebanyakan bekalan sumber asas itu bergantung elektrik.

KUALA LUMPUR: Bekalan elektrik di seluruh Semenanjung Gaza dijangka terputus sepenuhnya hari ini selepas satu-satu loji jana kuasa di kawasan berkenaan ditutup pada Rabu.

Keadaan bertambah runcing apabila tindakan kepungan menyeluruh oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza, turut menjejaskan bekalan air minuman kerana kebanyakan bekalan sumber asas itu bergantung elektrik.

Perkembangan terbaharu itu dikongsi oleh Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) Palestin, Dr Ahmad Abu Ayesh yang berpusat di Gaza, hari ini.

Jelas beliau, tindakan rejim Zionis melancarkan serangan bom berterusan disifatkan sebagai 'paling bersejarah dan gila', dengan lebih 1,500 kemudahan kediaman dilaporkan musnah setakat ini.

"Situasi di hospital amat sukar, dengan kapasiti hospital di dalam Semenanjung Gaza sangat terhad dan bilangan mortar dan orang yang cedera amat besar dan meningkat setiap jam.

"Hari ini semasa saya mengagihkan bantuan yang datang dari Malaysia, saya pergi ke sebuah rumah yang musnah di mana saya mendapat tahu bahawa 70 orang telah tertimbus di bawah tanah (di kawasan) rumah yang musnah.

"Semua penduduk di dalam Semenanjung Gaza secara langsung terjejas oleh pemberhentian satu-satunya loji jana kuasa di Gaza. Lebih daripada dua juta orang hidup dalam keadaan yang sangat sukar kerana kekurangan makanan dan air minuman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Ahmad memberitahu dia terpaksa melakukan dalam keadaan cepat kerana bimbang kehabisan bateri telefon bimbit dan terputus capaian internet.

Dakwanya lagi, tentera Israel sengaja menyasarkan dan memusnahkan kejiranan Rimal, yang merupakan antara kawasan komersial dan moden di Semenanjung Gaza, sebagai isyarat kepada seluruh rakyat Palestin bahawa mereka akan dikembalikan kepada 'zaman batu'.

Dr Ahmad menambah, bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza juga sangat terhad susulan tindakan rejim Zionis menutup pintu masuk sempadan termasuk Rafah yang menghubungkan Mesir dan Palestin.

"Pegawai kerajaan di Gaza telah memberi amaran bahawa enklaf kecil membawa kepada krisis yang sebenar... dan keadaan itu membahayakan lebih nyawa dua juta orang (termasuk yang) tinggal di dalam Semenanjung Gaza.

"Keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza amat merosot. Ia tidak dapat ditanggung lagi, dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Lebih daripada 350,000 orang kehilangan tempat tinggal selepas mereka terpaksa meninggalkan rumah mereka kerana pengeboman yang mengerikan dan gila terhadap rumah mereka," katanya.

Dalam masa sama, Dr Ahmad menggesa kerajaan di seluruh dunia termasuk negara Arab dan Islam agar memberi tekanan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan supaya mengenakan tindakan bersesuaian terhadap rejim Zionis atas pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Siri peperangan antara Israel dan Hamas kini memasuki hari keenam, dengan angka korban di Semenanjung Gaza mencecah 1,200 mangsa, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Comment