Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, meningkat kepada 1,537, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, Khamis lalu.
Gaza: Tentera Udara Israel (IAF) pada Khamis berkata, ia menjatuhkan "kira-kira 6,000 bom terhadap sasaran Hamas" di Gaza sejak serangan Sabtu, yang hampir menyamai jumlah bom yang digunakan Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan dalam satu tahun, lapor Agensi Anadolu.
The Washington Post, memetik Marc Garlasco, penasihat tentera di organisasi Belanda PAX for Peace, melaporkan Israel "menjatuhkan dalam masa kurang dari seminggu, apa yang dijatuhkan oleh AS di Afghanistan dalam setahun, dalam (kawasan) lebih kecil, lebih padat penduduk...."
Garlasco, yang juga bekas penyiasat jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Libya, memberitahu akhbar itu, memetik rekod dari Komando Pusat Tentera Udara AS, jumlah tertinggi bom dijatuhkan dalam setahun untuk perang di Afghanistan adalah lebih sedikit daripada 7,423.
Menurut PBB, sepanjang perang di Libya, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) melaporkan menggugurkan lebih 7,600 bom dan peluru berpandu dari pesawat, lapor akhbar berkenaan.
Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, meningkat kepada 1,537, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, Khamis lalu. Kenyataan itu menyatakan bahawa mangsa maut termasuk 500 kanak-kanak dan 276 wanita, dengan 6,612 orang cedera.
Terdahulu pada Khamis, IAF berkata di X bahawa "berpuluh-puluh jet pejuang dan helikopter menyerang beberapa siri sasaran pengganas organisasi pengganas Hamas di seluruh Semenanjung Gaza."
"Setakat ini, IAF menjatuhkan kira-kira 6,000 bom terhadap sasaran Hamas," tambahnya.
Charles Lister, seorang felo kanan dan pengarah Program Ekstremisme dan Cegah keganasan di Institut Timur Tengah, turut terkejut dengan angka itu.