Peladang Sabah main peranan penting bagi pembangunan ekonomi
18:10 Oct 15, 2023  |  By SabahKini2
Peladang Sabah main peranan penting bagi pembangunan ekonomi

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sektor pertanian tetap mendapat perhatian berat kerajaan kerana sektor itu merupakan pengeluar utama sumber makanan negara.

KOTA KINABALU: Peladang Sabah merupakan komuniti penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri terutama memastikan keterjaminan makanan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sektor pertanian tetap mendapat perhatian berat kerajaan kerana sektor itu merupakan pengeluar utama sumber makanan negara.

Beliau berkata, sektor pertanian merupakan antara teras utama Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Justeru peladang di Sabah perlu melakukan anjakan paradigma dalam pembangunan sektor pertanian negeri ini," katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Gala Peladang Sabah, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan.

Makan Malam Gala Peladang Sabah adalah julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah melalui kumpulan Peladangnita dan Peladang Muda.

Hajiji berkata, warga peladang juga harus peka dan bersedia menerima serta membuat perubahan dalam pertanian termasuk pengurusan ladang secara moden.

Menurutnya, peladang harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih merebut peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.

“Untuk mencapai hasrat ini, kita harus terbuka kepada idea, maklumat baharu dan mutakhir serta dapat menyesuaikannya mengikut keadaan dan masa. 

"Saya yakin dengan sokongan, komitmen semua warga peladang serta Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), kita akan dapat menjayakan usaha ini," katanya.

Katanya, sektor pertanian perlu mengaplikasikan penggunaan teknologi canggih agar tidak ketinggalan berbanding sektor pembuatan dan perkhidmatan yang kini bertumbuh dengan pesat.

Bagaimanapun, beliau yakin teknologi terbaru yang digunakan oleh pihak peladang iaitu ‘Internet Of Thing’ (IOT), merupakan medium kawalan pintar teknologi yang diaplikasikan dalam bidang pertanian.

Katanya, ia bagi tujuan penggunaan teknologi seperti Dron untuk meracun, membaja dan menabur benih, dapat mengurangkan kadar upah pekerja, selain mudah serta cepat.

Hajiji berkata, IOT juga digunakan dalam sistem pembajaan tanaman fertigasi yang dapat dikawal melalui aplikasi telefon pintar dan jaringan internet untuk lebih cekap, ekonomik bagi penghasilan sayur-sayuran serta buah-buahan yang optima.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi MAFFI Sabah kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) bagi membangunkan industri padi serta beras di negeri ini.

Katanya, pengwujudan semula LPS dijangka dapat meningkatkan paras tahap sara diri (SSL) beras Sabah kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, pada masa ini, SSL beras Sabah berada pada paras 22 peratus, manakala 78 peratus keperluan beras negeri ini ditampung melalui beras import daripada negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.

“Kita berharap dengan pengwujudan semula LPS dijangka akan dapat meningkatkan paras tahap SSL beras negeri sekali gus dapat mengurangkan beras import," katanya.

Comment