Sabah bakal terima peruntukan RM157.8 juta, baik pulih permukaan jalan
15:10 Oct 16, 2023  |  By SabahKini2
Sabah bakal terima peruntukan RM157.8 juta, baik pulih permukaan jalan

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata menerusi pemberian peruntukan yang lebih tinggi berbanding 2022 itu, sebahagian jalan Persekutuan di Sabah yang mengalami kerosakan kritikal telah dapat dibaik pulih pada tahun ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM157.8 juta telah diperuntukkan kepada Sabah tahun ini bagi kerja membaik pulih permukaan jalan menerusi skop kerja berkala turapan dan berkala bukan turapan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata menerusi pemberian peruntukan yang lebih tinggi berbanding 2022 itu, sebahagian jalan Persekutuan di Sabah yang mengalami kerosakan kritikal telah dapat dibaik pulih pada tahun ini.

“Kos penyelenggaraan jalan yang diperuntukkan untuk jalan Persekutuan (di Sabah) pada 2022 adalah RM114.19 juta.

“Bagaimanapun jumlah peruntukan itu (pada tahun ini) tidak dapat menampung kos pembaikan kerosakan jalan Persekutuan di seluruh Sabah seperti dalam senarai kerosakan jalan yang tertunggak,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) yang meminta kerajaan menyatakan langkah yang akan diambil bagi menyelesaikan masalah penyelenggaraan jalan raya dan lampu jalan raya di jalan-jalan Persekutuan di Sabah.

Menurut Nanta sebagai langkah pencegahan, jalan Persekutuan sepanjang 1,289.14 kilometer (km) yang disenggara oleh konsesi penyenggaraan jalan Persekutuan Sabah telah melaksanakan penyelenggaraan rutin secara bulanan dengan anggaran kos RM4 juta sebulan untuk memastikan keadaan jalan tersebut selamat dan selesa.

“Kementerian turut berpandangan bahawa terdapat jalan raya yang perlu dibina semula memandangkan jalan-jalan ini telah dibina lebih dari 20 tahun. Ini bermakna jangka hayat jalan tersebut telah melebihi tempoh sepatutnya dari segi reka bentuk.

“Dalam usaha ke arah keselesaan jalan raya di Sabah, kementerian juga sedang berusaha menaik taraf jalan-jalan utama di Sabah melalui Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) sepanjang 210.294 km yang sedang dalam pembinaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi penyenggaraan lampu jalan, sebanyak RM3.07 juta telah dimanfaatkan untuk membaik pulih lampu jalan sedia ada yang rosak di jalan Persekutuan seluruh Sabah.

“Selain itu, sebanyak RM700,000 juga telah dimanfaatkan untuk membaik pulih lampu isyarat dan lampu jalan di jalan Persekutuan Sabah. Agihan peruntukan ke daerah-daerah di Sabah adalah ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya Sabah bergantung kepada senarai keutamaan yang disusun,” katanya.

Comment