Peguam palsu tanpa pendidikan undang-undang menang 26 kes
15:10 Oct 16, 2023  |  By SabahKini2
Peguam palsu tanpa pendidikan undang-undang menang 26 kes

Siapa sangka kejayaan Brian Mwenda sebagai peguam didasari kelicikan dia menipu kerana lelaki itu tidak pernah mendapat pendidikan khusus dalam bidang undang-undang.

Nairobi: Bukan satu, sebaliknya 26 kes yang diwakili lelaki Kenya ini menang ketika pembelaan di hadapan majistret dan hakim mahkamah rayuan serta mahkamah tinggi.

Siapa sangka kejayaan Brian Mwenda sebagai peguam didasari kelicikan dia menipu kerana lelaki itu tidak pernah mendapat pendidikan khusus dalam bidang undang-undang.

Dia juga tidak mempunyai tauliah untuk menjadi peguam meskipun sudah 'membela' anak guamnya untuk suatu tempoh yang lama.

Rahsia sebenar Mwenda akhirnya terbongkar selepas polis menerima banyak aduan awam yang membawa kepada penahanannya, baru-baru ini.

Menurut laporan Nigerian Tribune yang dipetik NDTV, hakim tidak curiga dengan keupayaan Mwenda sebagai 'peguam' sehingga penahanannya.

Pasukan Tindakan Pantas Persatuan Undang-Undang Kenya cawangan Nairobi menahan lelaki itu atas alasan pemalsuan selepas mereka menerima aduan awam.

Persatuan itu berkongsi di X yang meminta masyarakat berhati-hati dengan penipuan Mwenda.

"Kami ingin memberitahu semua ahli masyarakat dan orang ramai bahawa Brian Mwenda Njagi bukan Peguam Bela Mahkamah Tinggi Kenya. Rekod persatuan menunjukkan dia juga bukan ahli cawangan Nairobi," kata persatuan itu.

Persatuan Undang-Undang Kenya berkata, Mwenda mengakses portal mereka secara jenayah dan "mengenal pasti akaun dengan nama yang sepadan dengannya serta mengubah butiran maklumat dan memuat naik fotonya dalam usaha untuk mendaftarkan diri dalam profesion guaman Kenya".

Mereka menambah bahawa selepas mesyuarat tergempar, persatuan mendapati yang Mwenda mencuri identiti seorang peguam yang mempunyai nama sama dengannya iaitu Brian Mwenda Ntwiga.

"Penipuan terdedah selepas peguam itu menghubungi Sekretariat apabila dia tidak boleh mengakses sistem untuk mendaftar Sijil Amalan Guaman.

"Selepas memaklumkan kepada jabatan IT pada 28 September, siasatan dibuat yang mendapati kegagalan mengakses sistem berlaku selepas maklumat keahliannya diubah terutama alamat emel yang bukan miliknya.

"Brian Mwenda Ntwiga berdaftar dengan Badan Peguam pada 5 Ogos 2022, dan emel sebenarnya digunakan untuk mendaftar keahlian dalam portal peguam bela.

"Brian Mwenda Ntwiga bagaimanapun mengesahkan dia tidak memohon Sijil Amalan Guaman ketika itu kerana berkhidmat di Pejabat Peguam Negara," kata kenyataan itu.

Hanya pada September 2023, apabila mahu mengaktifkan profilnya dalam portal itu bagi memohon Sijil Amalan Guaman, Brian Mwenda Ntwiga mendapati dia tidak boleh lagi mengakses portal terbabit.

Comment