Lelaki dipenjara enam bulan kerana curi 300 biji telur ayam
15:10 Oct 18, 2023  |  By SabahKini2
Lelaki dipenjara enam bulan kerana curi 300 biji telur ayam

Tertuduh Rakib Hassan, 39, mengaku bersalah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun selepas pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan selesai dibacakan.

TAWAU: Gara-gara mencuri 10 kotak telur, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Rakib Hassan, 39, mengaku bersalah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun selepas pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan selesai dibacakan.

Menurut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 13 Oktober lepas kira-kira jam 9.30 pagi di tempat letak kereta Tapak 100 Tahun Jalan Dunlop, di sini.

Tertuduh didakwa mencuri 10 kotak telur ayam bernilai RM147 milik seorang lelaki yang diletak di belakang kereta pacuan empat roda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, seorang lelaki warga asing dihukum penjara 12 bulan selepas tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Riri, 39, mengaku bersalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) Akta yang sama di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Tertuduh telah ditahan di Kawasan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Bukit Gemuk Tawau pada 12 Ogos lepas kira-kira jam 3.30 petang.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh tangkap dan diarah dirujuk ke Jabatan Imigresen dengan kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Sarina.

Comment