Tiga PBK atas air bakal ditubuhkan di Sabah tahun depan
15:10 Oct 19, 2023  |  By SabahKini2
Tiga PBK atas air bakal ditubuhkan di Sabah tahun depan

Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda berkata tiga lokasi terpilih itu membabitkan kawasan yang kerap berlakunya kebakaran di perkampungan atas air.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merancang untuk menambah tiga lokasi Pasukan khas Bomba Komuniti (PBK) atas air di negeri ini tahun hadapan.

Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda berkata tiga lokasi terpilih itu membabitkan kawasan yang kerap berlakunya kebakaran di perkampungan atas air.

“Untuk tahun ini kita merancang untuk melaksanakan PBK atas air di dua kawasan masing-masing Tanjung Aru dan Tawau.

“Pelaksanaan di Tawau bagaimanapun ditunda ke tahun hadapan dan InshaAllah akan disusuli dengan dua lagi penubuhan PBK lain menjadikan empat lokasi keseluruhan bagi PBK atas air di Sabah,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pentauliahan PBK peringkat Zon Kota Kinabalu di Kampung Tanjung Aru di sini.

Dalam majlis terbabit seramai 40 PBK ditauliah dan mula menjalankan operasi bagi Bomba Komuniti Perkampungan Atas Air Zon Kota Kinabalu melibatkan empat buah perkampungan atas air iaitu Kampung Tanjung Aru, Kampung Numbak, Kampung Meruntum dan Kampung Pulau Gaya.

Bercakap lanjut mengenai rancangan itu, beliau berkata lokasi pemilihan di Tawau membabitkan dua kawasan sama ada di Kampung Titingan atau Kampung Hidayat Batu 4 yang merekodkan kebakaran paling besar tahun lalu dengan memusnahkan kira-kira 700 buah rumah.

Katanya lokasi di Sandakan membabitkan Kampung Bokara manakala Kampung Landung Ayang bagi Kudat yang kerap mencatat kebakaran skala besar.

Menurutnya, JBPM juga merancang untuk melantik sehingga 160 ahli PBK masing-masing 40 ahli di setiap kawasan pada tahun hadapan.

“Tujuan utama penubuhan PBK adalah mereka akan menjadi pasukan yang bertindak lebih awal menangani kebakaran sebelum ketibaan pihak bomba dilokasi.

“Seperti sedia maklum, Sabah mempunyai banyak perkampungan atas air dan risiko untuk berlakunya kebakaran sangat tinggi di kawasan ini berikutan faktor keadaan rumah yang dibina agak rapat selain bahan binaan yang mudah terbakar iaitu kayu dan papan lapis.

“Biasanya sekiranya berlaku kebakaran, kadar kemerebakan api sangat tinggi ditambah dengan faktor angin kencang kerana terletak di pesisir pantai,” katanya.

Beliau berkata, selain menjadi pasukan pemadam, PBK ini juga turut berperanan menjadi agen penduduk iaitu sebagai mata dan telinga pihak bomba dalam mewujudkan kesedaran kepentingan keselamatan kebakaran di kawasan masing-masing.

“Dalam menjadi pasukan awal yang mengendalikan kebakaran, PBK sudah dilatih pengetahun asas kebombaan dan kita akan mengembangkan lagi modul PBK dengan lebih luas selepas ini.

“Dengan sasaran 40 PBK di setiap kawasan tahun hadapan, kita yakin lebih ramai agensi kerajaan mahupun swasta serta syarikat akan membantu merealisasikan penubuhan jabatan ini.

“Kita juga berterima kasih dengan koloborasi bersama Majlis Keselamatan Sabah (MKN) yang menyalurkan dana besar untuk penubuhan PBK selain bantuan beberapa syarikat lain yang menyumbang bakul makanan kepada penduduk kampung setempat,” katanya.

Dalam pada itu katanya pemilihan ahli PBK pada peringkat awal akan disasarkan dalam kalangan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berdaftar berikutan peranan mereka dalam memperkasa keselamatan di kawasan kampung sebelum ini.

“Memandangkan penduduk di setiap kawasan perkampungan atas air membabitkan jumlah ramai iaitu 2,000 sehingga 8,000 penduduk, kita tidak boleh memilih kesemua penduduk untuk menjadi PBK.

“JBPM juga berhadapan cabaran untuk memilih ahli PBK di atas air dan kita akan berusaha untuk bekerjasama dan berbincang dengan ketua kampung di kawasan masing-masing bagi lokasi yang tidak mempunyai pili air.

“Usaha ini penting dalam mendekati komuniti selain mengenal pasti peralatan asas yang boleh diperoleh untuk salur bantu mula termasuklah pan kecil dan hos untuk mengendalikan kebakaran,” katanya.

Comment