Hentikan segera serangan kejam Israel ke atas Palestin, gesa OIC
15:10 Oct 19, 2023  |  By SabahKini2
Hentikan segera serangan kejam Israel ke atas Palestin, gesa OIC

Dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat menteri luar, blok itu menggesa kepungan Israel ke atas Semenanjung Gaza ditarik balik.

ANKARA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu menggesa serangan kejam Israel terhadap penduduk Palestin dihentikan segera.

Dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat menteri luar, blok itu menggesa kepungan Israel ke atas Semenanjung Gaza ditarik balik.

Kumpulan itu mengulangi sokongannya untuk "hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan, terutamanya hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan kepulangan pelarian Palestin, hak untuk kemerdekaan serta penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat mengikut sempadan 4 Jun 1967 dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negaranya, lapor Agensi Anadolu.

OIC juga mengesahkan semula sokongannya terhadap "hak Palestin untuk mempertahankan diri dalam menghadapi serangan Israel yang mensasarkan nyawa, kesucian dan harta benda mereka.

Organisasi yang berpusat di Jeddah itu menolak perbuatan orang awam dijadikan sebagai sasaran serangan atau mengusir penduduk dari rumah mereka atau kelaparan dan menghalang mereka daripada akses bantuan kemanusiaan yang selamat dengan melanggar semua norma dan undang-undang antarabangsa dan nilai serta prinsip kemanusiaan.

OIC menggesa penyediaan segera bantuan kemanusiaan, perubatan, bantuan dan air serta elektrik ke Semenanjung Gaza.

Sementara itu, OIC menyifatkan serangan udara Israel ke atas sebuah hospital di Semenanjung Gaza yang mengorbankan hampir 500 orang sebagai jenayah perang, pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, etika serta instrumen antarabangsa dan kemanusiaan.

Organisasi itu juga menggesa Israel bertanggungjawab ke atas jenayah perang terhadap warga Palestin dan manusia pada amnya.

"Israel bertanggung jawab penuh atas nasib orang awam di Semenanjung Gaza dan tragedi sebenar yang mereka alami di bawah serangan, pengepungan dan kelaparan, tanpa elektrik, makanan atau air bersih, " kata kumpulan itu.

Gaza sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk tanpa bekalan elektrik manakala bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan semakin terhad.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres telah menggesa gencatan senjata segera untuk mengurangkan penderitaan kemanusiaan dialami mangsa konflik.

Comment