Budaya permainkan isu agama perlu dihentikan – Jauteh
15:10 Oct 19, 2023  |  By SabahKini2
Budaya permainkan isu agama perlu dihentikan – Jauteh

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata PDRM memandang serius isu-isu yang melibatkan penghinaan terhadap agama yang disebarkan melalui media massa kebelakangan ini.

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah menasihatkan masyarakat agar tidak menyentuh dan menimbulkan isu keagamaan yang boleh menggugat keamanan serta keharmonian di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu-isu yang melibatkan penghinaan terhadap agama yang disebarkan melalui media massa kebelakangan ini. 

“PDRM Sabah menasihatkan mana-mana pihak agar tidak membangkitkan isu keagamaan sekiranya tidak mahir dan arif terhadap isu ini lebih-lebih lagi sekiranya agama itu bukan anutannya. 

“Kita akan menjalankan siasatan terperinci berkaitan perkara ini dan saya berharap masyarakat tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih keruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jauteh berkata pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak sama sekali membuat, menyebar atau berkongsi sebarang kenyataan jelik yang menyentuh sensitiviti agama.

Katanya tindakan ini boleh menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama dan kaum di negeri ini

Comment