Institusi agama perlu peka dan berhikmah beri pandangan serta penjelasan hukum syarak
15:10 Oct 20, 2023  |  By SabahKini2
Institusi agama perlu peka dan berhikmah beri pandangan serta penjelasan hukum syarak

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perpaduan dan pesefahaman adalah merupakan salah satu matlamat Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, iaitu membina negeri dan masyarakat yang bersatu, aman, makmur serta sejahtera.

KOTA KINABALU: Institusi agama perlu peka dan berhikmah dalam memberikan pandangan dan penjelasan hukum syarak, agar Islam dilihat sebagai 'ad-din' yang menzahirkan kesefahaman serta kehormanian bermasyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perpaduan dan pesefahaman adalah merupakan salah satu matlamat Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, iaitu membina negeri dan masyarakat yang bersatu, aman, makmur serta sejahtera. 

Beliau berkata, ia juga selaras dengan gagasan Malaysia Madani dengan enam nilai teras yang mengukuhkan lagi nilai persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa serta agama. 

Menurutnya, jabatan dan agensi yang terbabit dalam pengurusan hal ehwal Islam seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama Islam Malaysia dan Majlis Fatwa Negeri perlu bekerjasama, bergabung tenaga dalam menyelesaikan masalah umat Islam serta memartabatkan syiar Islam di negara ini. 

“Hal ini juga akan memupuk keyakinan yang ampuh kepada pihak berautoriti agama dalam memberi penerangan yang jelas dan tuntas dalam isu agama sama ada politik, sosial, ekonomi dan seumpamanya agar kehidupan masyarakat Islam berteraskan kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah serta penjelasan daripada alim ulama yang muktabar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tautan Ukhwah dan Mahabbah sempena Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke 122, di sini kelmarin.

Hajiji berkata, Malaysia merupakan negara majmuk dari segi penduduknya, terutama Sabah merupakan tanah tumpah darah kepada 33 kumpulan pribumi, yang bertutur dalam 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

“Bayangkan betapa hebat dan uniknya khazanah budaya bangsa yang kami warisi ini! Saya sendiri mempunyai ramai saudara-mara dan ipar duai yang berlainan bangsa, budaya dan kepercayaan agama.

"Namun, rakyat Sabah tetap hidup dalam suasana harmoni dan rukun damai sejak berkurun lamanya.

“Bayangkan betapa meriahnya suasana di kala kami menyambut perayaan-perayaan keagamaan dan kebudayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Krismas, Tahun Baharu Cina, Pesta Kaamatan dan lain-lain perayaan. Saudara mara dan rakan taulan datang untuk berziarah yang berlainan agama.

“Namun, kemesraan dan keharmonian tetap menguasai suasana dan ianya adalah semula jadi. Justeru, kemesraan dan keharmonian itulah sebenarnya nilai kekuatan yang memperkukuhkan perpaduan," katanya.

Beliau percaya perbezaan bangsa, budaya dan agama yang wujud tidak akan menjadi batu penghalang kepada rakyat negeri ini memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan. 

Katanya, nilai-nilai murni yang telah berakar umbi di negeri ini akan terus diwarisi dan menjadi pegangan hidup generasi akan datang dan beberapa generasi yang seterusnya.

Hajiji berkata, semangat toleransi dalam beragama sangat tinggi di Sabah sehingga isu-isu berkaitan keagamaan hampir tidak kedengaran.

Menyentuh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI di Kota Kinabalu, beliau berkata, ia merupakan medium untuk membincangkan dan memutuskan perkara-perkara yang berkaitan Hal Ehwal Islam yang dirujuk oleh Majlis Raja-Raja. 

Katanya, pandangan dan keputusan yang dicapai dalam muzakarah itu amat penting dan dinantikan oleh masyarakat Islam yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan dengan kehidupan umat Islam. 

Comment