Minta KPM pertimbang bina SMK Lok Kawi – Shahelmey
15:10 Oct 25, 2023  |  By SabahKini2
Minta KPM pertimbang bina SMK Lok Kawi – Shahelmey

Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya cadang KPM mempertimbangkan pembinaan SMK Lok Kawi bagi mengatasi masalah kesesakan pelajar di sekitar Putatan.

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula mempertimbangkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Kawi yang terletak di kawasan Parlimen berkenaan.

Katanya, cadangan itu adalah bagi membantu mengatasi masalah kesesakan pelajar di sekitar Putatan.

“Untuk makluman pada masa sekarang terdapat tiga buah sekolah menengah di daerah Putatan. Dua daripada tiga sekolah menengah tersebut mempunyai jumlah pelajar mencecah 2,000 orang dan setiap sekolah terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta KPM mempertimbangkan bagi menaik taraf Pusat Tingkatan Enam SMK Putatan kepada Kolej Pra Universiti KPM Kampus Putatan. Dengan itu, maka keperluan masa depan yang kian bertambah akan dapat dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan ucapan dasar Bajet 2024 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pihaknya turut memohon agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat melaksanakan banyak cadangan projek-projek bekalan air luar bandar yang telah lama tertunggak. 

Katanya, dengan pelaksanaan ini, ianya sudah tentu dapat membantu mengurangkan masalah bekalan air luar bandar di negeri Sabah kelak.

“Menteri Kewangan juga ada menyebut tentang peruntukan bagi menyelesaikan masalah bekalan air bagi negeri Sabah dalam ucapan bajet 2024. 

“Semoga peruntukan itu dapat diperincikan dan diselaras bersama Jabatan Air Negeri Sabah. Semoga juga ianya dapat dilaksanakan dalam tahun hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pelaksanaan baki fasa 1B projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sentiasa ditunggu-tunggu dan berharap ianya dapat dilaksanakan dengan pelantikan semua kontraktor pelaksana dapat dilengkapkan pada akhir tahun ini dan awal tahun hadapan.

“Saya berasa lega mendengar bahawa RM15.7 billion telah diperuntukkan bagi projek yang sudah lama dinantikan ini.

Lebuhraya Pan Borneo ini penting bagi Sabah kerana ianya merupakan ‘game changer’ bagi negeri Sabah bila ianya siap kelak. 

“Besarlah harapan kami agar pemilihan kontraktor- kontraktor nanti adalah berdasarkan kriteria kelayakan yang telah diteliti sepenuhnya. Selain daripada projek Lebuhraya Pan Borneo, adalah juga diharapkan peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan dan cerun-cerun dapat ditingkatkan bagi memberi keadaan jalan dan cerun yang lebih selamat dan selesa disediakan di Sabah. 

“Sudah 60 tahun Sabah menjadi rakan kongsi pembentukan Malaysia dan sudah banyak jalan- jalan raya di Sabah yang telah melebihi jangka hayat reka bentuk dan memerlukan untuk dinaik taraf,” katanya.

Comment