GLC laksana program CSR cegah pendidikan antirasuah layak dapat potongan cukai
13:10 Oct 30, 2023  |  By SabahKini2
GLC laksana program CSR cegah  pendidikan antirasuah layak dapat potongan cukai

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana syarikat swasta atau GLC yang melaksanakan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini, boleh mendapat potongan cuka

KOTA KINABALU: Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah digesa melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana syarikat swasta atau GLC yang melaksanakan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini, boleh mendapat potongan cukai.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan itu, syarikat-syarikat swasta layak memohon mendapatkan potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan yang bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

"Justeru, saya menggesa syarikat-syarikat swasta dan kerajaan di Sabah agar mengambil peluang dan insentif pelepasan cukai itu dengan menganjurkan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama SPRM.

"Ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat dalam membantu menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat negeri ini," katanya ketika merasmikan Program Kedai Jujur Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada SPRM dalam memerangi dan melaksanakan aktiviti pencegahan rasuah.

Beliau berkata, ini termasuklah menambahbaik tadbir urus dan sentiasa memperkasakan integriti di peringkat penjawat awam hingga ke peringkat pelajar sekolah. 

Menurutnya, rakyat juga perlu memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM, dalam membantu menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa yang berlaku.

"Ini penting supaya pelaku rasuah dikenakan tindakan undang-udang yang sewajarnya agar ianya menjadi iktibar kepada masyarakat," katanya.

Menyentuh Program Kedai Jujur, katanya ia merupakan kedai yang menjual barangbarang 'fast moving items' tanpa penjaga pada masa persekolahan. 

Katanya, pembeli terdiri daripada komuniti pelajar, guru, ibu-bapa dan orang awam yang akan memasukkan bayaran berbentuk wang ke dalam tabung yang disediakan. 

Beliau berkata, Kedai Jujur tidak bermotifkan keuntungan dan ianya lebih berlandaskan pembelajaran berasaskan eksperimen yang mampu mendidik anak-anak bersikap jujur untuk membayar dahulu sebelum mengambil barang yang diperlukan, kerana integriti.

Justeru katanya, Kedai Jujur merupakan salah satu inisiatif dalam mempersiapkan diri pelajar-pelajar sekolah sejak kecil lagi dengan penerapan nilai-nilai murni. 

"Tabiat bermoral seperti itu perlu diterapkan bermula dari alam persekolahan lagi, supaya ia menjadi pegangan hidup apabila mereka dewasa kelak. 

"Konsep kedai jujur ini boleh dijadikan benteng utama di peringkat awal lagi, bagi menghalang pelakuan pelajar sekolah tidak berintegriti kelak," katanya.

Hajiji berkata, konsep Kedai Jujur tidak asing di Sabah kerana ia sinonim dengan ‘gerai jualan tanpa penjaga’ yang boleh dilihat di tepi-tepi jalan di sepanjang jalan raya di beberapa daerah di negeri ini. 

Menurutnya, peniaga hanya meletakkan tabung khas untuk pelanggan yang singgah membeli dan memasukkan bayaran ke dalam tabung itu, yang mana peniaga hanya mengharapkan kejujuran daripada pembeli.

Comment