Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaburan berimpak tinggi itu adalah contoh perkara boleh dicapai kerajaan negeri, sektor swasta dan kesatuan komuniti dengan visi yang sama.
KOTA KINABALU: Pembukaan kilang Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernilai berbilion ringgit adalah suatu bukti kejayaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaburan berimpak tinggi itu adalah contoh perkara boleh dicapai kerajaan negeri, sektor swasta dan kesatuan komuniti dengan visi yang sama.
"Ini adalah hasil daripada usaha kolektif kita dalam bentuk pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk manfaat penduduk dan negeri ini," katanya ketika merasmikan pembukaan kilang bertaraf dunia di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sangat komited bagi memastikan pelaburan di Sabah berjalan dengan lancar.
"Untuk menjayakan perkara ini, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan petugas pelaburan yang khusus memudahkan serta menyelaraskan proses pelaburan.
"Pasukan ini direka bentuk untuk menyediakan sokongan menyeluruh, panduan dan persekitaran yang kondusif bagi pelabur untuk berkembang dan berjaya," katanya.
Untuk pelaburan Kumpulan Kibing katanya, pasukan pelaburan itu telah mempercepatkan permulaan operasi kilang dalam tempoh kurang daripada 24 bulan sejak perjanjian awal ditandatangani pada Januari 2022.
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan usaha dedikasi oleh pasukan pelaburan itu yang bekerja tanpa henti, bergerak seiring dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan untuk menjadikan pelaburan ini satu kenyataan di Sabah.
"Saya ingin menekankan kerajaan negeri komited untuk memudahkan pelaburan ke Sabah. Kami berazam dalam misi kami untuk mencipta persekitaran yang menarik kepada lebih banyak pelabur, seperti pelaburan Kibing ke Sabah.
"Pelaburan ini bukan sekadar nombor angka dalam catatan kewangan, tetapi mencipta peluang pekerjaan, memperkasakan inovasi dan meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.
Hajiji masih ingat lawatan beliau ke kilang kaca pertama di Taman Perindustrian Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan dua tahun lalu, atas jemputan Pengerusi Kumpulan Kibing Yu Qi Bing dan Presiden Datuk Lim Swee Ee, di mana beliau dimaklumkan syarikat terbabit komited untuk melabur kilang pembuatan kaca solar di Sabah.
"Hari ini, projek berkenaan telah menjadi realiti, terima kasih kepada rakan pelabur kita dari China, Kumpulan Kibing kerana memberikan keyakinan dan komitmen mereka dengan membawa pelaburan fasa pertama bernilai RM3 bilion bagi membangunkan kilang mereka di KKIP.
"Dengan kapasiti pengeluaran tahunan yang mengagumkan iaitu sebanyak 440,000 tan solar kaca, Sabah kini telah menjadi salah satu pemain utama dalam industri pembuatan solar kaca di Malaysia, dan kami bersedia untuk membuat sumbangan yang besar kepada sektor tenaga boleh diperbaharui.
"Pencapaian ini bukan hanya menjanjikan pertumbuhan ekonomi tetapi juga mengukuhkan komitmen kami terhadap kelestarian dan teknologi hijau," katanya.
Menurutnya, usaha itu juga berjaya mewujudkan sejumlah 1,100 peluang pekerjaan dengan lebih 80 peratus daripada 1,300 pekerja adalah rakyat Sabah.
"Ini bukan sahaja menguatkan tenaga kerja tempatan tetapi juga meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini dengan menyediakan mereka pekerjaan yang stabil," katanya.
Hajiji optimistik Kumpulan Kibing akan terus maju dan memainkan peranan penting dalam memberikan sumbangan ekonomi dalam jangka masa panjang kepada Sabah.
Katanya, kerajaan negeri kekal komited untuk mengalu-alukan kedatangan pelabur seperti Kumpulan Kibing, China. Mengiktiraf peranan mereka dalam pembangunan ekomomi dan negeri.
"Kerajaan Sabah akan terus menjadi destinasi mesra pelabur, komited untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi," katanya.