Sabah salur RM5.62 juta bantuan untuk institusi bukan Islam di Pedalaman Bawah
15:11 Nov 02, 2023  |  By SabahKini2
Sabah salur RM5.62 juta bantuan untuk institusi bukan Islam di Pedalaman Bawah

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif berkata, sebanyak 1,810 kelulusan telah diberikan iaitu 346 untuk sekolah-sekolah manakala badan-badan keagamaan adalah sebanyak 1,464 kelulusan.

BEAUFORT: Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kepada 79 institusi yang melibatkan 51 buah sekolah, 59 gereja dan 27 tokong di Zon Pedalaman Bawah dengan peruntukan berjumlah RM5.62 juta.

Keseluruhan bantuan yang diperuntukan dalam Belanjawan 2023 adalah berjumlah RM54.05 dengan agihan RM23 juta kepada sekolah-sekolah dan RM31.05 juta untuk badan-badan keagamaan bukan Islam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif berkata, sebanyak 1,810 kelulusan telah diberikan iaitu 346 untuk sekolah-sekolah manakala badan-badan keagamaan adalah sebanyak 1,464 kelulusan.

Berbanding tahun lepas, Arifin memberitahu, terdapat penambahan sebanyak 294 kelulusan tahun ini berbanding tahun sebelum iaitu sebanyak 1,516 kelulusan.

"Pada pagi ini kita menyaksikan agihan bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk Zon Pedalaman Bawah yang melibatkan daerah Papar, Membakut, Beaufort, Kuala Penyu, Menumbok dan Sipitang sebanyak 137 kelulusan dengan jumlah bantuan kewangan RM5.62 juta.

"Sebanyak RM3.49 juta kepada 51 buah sekolah; RM1.24 juta untuk 59 buah gereja dan RM879,000 untuk 27 buah tokong di Zon Pedalaman Bawah, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Penyerahan Pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Kepada Sekolah-Sekolah Dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2023 Zon Pedalaman Bawah di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Ming, dekat sini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.

Mengulas lanjut, Arifin berkata, Kerajaan Negeri Sabah senantiasa prihatin dan pada masa sama amat menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Semoga dengan sumbangan dan bantuan kewangan ini akan memberi keselesaan dan manfaat serta dapat memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

"Saya berharap bantuan kewangan ini dapat membantu meringankan beban pihak sekolah dan badan-badan keagamaan dalam usaha memperbaiki dan membangun agar keadaan sekolah dan rumah-rumah ibadat agar lebih kondusif, selamat dan selesa, " katanya.

"Saya ingin maklumkan bahawa permohonan bantuan kewangan tahun 2024 akan dibuka mulai 2 Januari hingga 31 Mac 2024. Insyaallah, sekiranya kedudukan kewangan negeri bertambah baik, kerajaan negeri akan meningkatkan amaun bantuan ini, " katanya.

Tambahan itu, Arifin turut menyarankan sektor swasta, dewan perniagaan dan persatuan perdagangan untuk turut serta menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk sama-sama mendukung institusi sekolah dan badan-badan keagamaan di negeri ini.

Comment