Ahli Parlimen Tenom Sokong Menteri Luar Hak Sabah MA63
16:03 Mar 12, 2018  |  By SabahKini2
Ahli Parlimen Tenom Sokong Menteri Luar Hak Sabah MA63

Anifah bersama-sama pemimpin nombor satu negara, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Penurunan Kuasa (Devolution of Power Committee) yang terletak di bawah Kabinet Persekutuan.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi menyokong penuh kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang mahu hak keistimewaan Sabah dikembalikan seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, beliau (Anifah) bersama-sama pemimpin nombor satu negara, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Penurunan Kuasa (Devolution of Power Committee) yang terletak di bawah Kabinet Persekutuan.

“Jawatankuasa ini turut dipengerusikan bersama-sama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Hajah Nancy Shukri (dari Sarawak) untuk menuntut segala hak seperti mana yang dilakukan Sarawak hingga berjaya mengendali hasil minyak dan gas sendiri menerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros).



“Pendekatan seperti konsultasi dialong perbincangan secara baik yang telah dilakukan oleh pihaknya amat bertepatan dan saya juga yakin bahawa rakyat Sabah bakal menerima 'khabar gembira' daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat khususnya berhubung tuntutan hak dalam MA63," katanya mengulas lanjut kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman berhubung ketegasannya berkenaan hak-hak rakyat negeri ini dalam MA63 seperti yang dijanjikan, dekat sini, kelmarin.

Terdahulu, Dalam satu kenyataan akhbar Menteri Luar dipetik sebagai berkata "Oleh kerana ini adalah janji Perdana Menteri, saya katakan saya yakin kepada Allah S.W.T, saya percaya kepada beliau, jadi mereka (pembangkang) mengatakan kalau Najib tidak tunaikan janji apa yang hendak saya buat, saya kata saya tidak mahu tunggu pun sehari dalam UMNO,"

Raime berkata, ketegasan Menteri Luar itu menunjukkan kesungguhannya untuk menuntut segala hak Sabah seperti mana yang dilakukan Sarawak serta membuktikan kesungguhan Perdana Menteri menunaikan janjinya juntuk mengembalikan hak keistimewaan Sabah.

“Inilah hasrat kita dan rakyat Sabah yang mahu melihat para pemimpin Sabah memperjuangkan hak rakyat Sabah tidak seperti pihak pembangkang yang suka menabur fitnah dan memanipulasi usaha pihak kerajaan dalam memastikan hak rakyat Sabah terbela," katanya.

Pada 9 Februari lepas Mesyuarat hak negeri Sabah dan Peguam Negara Mohd Apandi Ali mengadakan pertemuan dan perbincangan berhubung pengembalian hak Sabah.

Dalam mesyuarat itu, Apandi mendedahkan bahawa Sabah mempunyai hak dalam Artikel 112D, yang menyatakan negeri itu mempunyai hak untuk menuntut 40% daripada keuntungan pendapatan bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuaan untuk setiap lima tahun.

1 Comment