Sabah tawar persekitaran pelaburan kondusif kepada pelabur China
21:11 Nov 07, 2023  |  By SabahKini2
Sabah tawar persekitaran pelaburan kondusif kepada pelabur China

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian ketika mengetuai misi perdagangan buat julung kalinya di luar negara bagi mempromosikan peluang perniagaan serta pelaburan di Sabah.

SHENZHEN: Sabah sedia menawarkan peluang pelaburan dan perniagaan besar kepada pelabur dari China untuk memperkasakan pembangunan sekali gus mencapai kejayaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian ketika mengetuai misi perdagangan buat julung kalinya di luar negara bagi mempromosikan peluang perniagaan serta pelaburan di Sabah.

Hajiji memberikan jaminan bahawa Sabah akan menawarkan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif.

“Sabah terletak pada lokasi yang strategik dan mempunyai komitmen tinggi untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi, sekali gus membuka laluan kepada potensi pelaburan yang luar biasa.

"Sabah menawarkan taman perindustrian yang menarik seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) dan POIC Sandakan.

“Zon perindustrian ini, ditambah pula dengan kelebihan semula jadi Sabah, ia pasti akan mencipta pelbagai peluang pelaburan.

"Pada 2022 sahaja, kami telah melihat pelaburan sebanyak USD 2.5 bilion merentasi 89 projek, memberikan jaminan ribuan peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Futian Shangri-La, Shenzhen China, semalam

“Saya menjemput anda semua untuk melawat Sabah dan meneroka sendiri peluang pelaburan dan perniagaan ini. Saya yakin bahawa Sabah adalah destinasi pelaburan yang mempunyai potensi besar yang belum diterokai. Sabah terbuka untuk perniagaan," katanya.

Menurutnya, China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009, dan pada 2022, nilai perdagangan antara Malaysia dan China adalah kira-kira 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia bernilai USD584 bilion (RM2.8 trilion), manakala jumlah perdagangan Sabah dengan China dari Januari sehingga September 2023 dicatatkan pada USD1.83 bilion (RM8.29 bilion).

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk memastikan pelaburan di Sabah berjalan lancar dengan membentuk pasukan petugas khas.

“Pasukan petugas ini dibentuk untuk menyediakan sokongan, bimbingan dan persekitaran yang kondusif untuk pelabur bagi membolehkan anda semua berkembang dan mencapai kejayaan," katanya.

Antara prospek pelaburan menarik pelabur China katanya, adalah berkaitan sektor tenaga, 'low energy intensity industry', produk berasaskan teknologi hijau, produk hiliran biojisim, pemprosesan makanan, peranti perubatan, minyak dan gas serta pelancongan.

“Kami sangat teruja oleh kemajuan pesat China dalam teknologi dan inovasi. Oleh itu, kami telah menubuhkan Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC).

"SCENIC membuktikan komitmen kami untuk menyepadukan teknologi, kreativiti dan inovasi untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

“Di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kami telah melancarkan Internet of Things (IoT) Sandbox yang dilancarkan pada Disember 2022 sebagai sebahagian daripada Pelan Sabah Maju Jaya.

"Ia hanyalah persekitaran yang selamat untuk usahawan digital dan inovator untuk mencipta produk mereka dan menguji kebolehlaksanaan masing-masing.

“Kami melihat kuasa transformatif teknologi digital dalam sektor seperti pertanian, perlombongan dan pelancongan serta berusaha untuk mencontohi pencapaian China dalam IoT. Menjelang 2025, inisiatif ini dijangka menyumbang USD 2.1 bilion kepada ekonomi Sabah dan mewujudkan kira-kira 18,000 pekerjaan.

“Satu tambahan penting kepada inisiatif digital kami ialah BizSabah. Direka bentuk untuk meningkatkan kemudahan perniagaan, BizSabah merangkumi prinsip kebolehcapaian. Sama ada prosedur kerajaan atau mencari rakan kongsi tempatan, BizSabah ialah platform yang komprehensif.

“Sistem Pertukaran Perniagaannya yang unik bertujuan memupuk sambungan B2B, mencerminkan kedinamikan dan kecekapan ekosistem perniagaan China yang berkembang maju,” katanya.

Beliau berkata, Sabah adalah teras bagi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) kerana lokasinya yang strategik di Asia Tenggara, melalui kerjasama serantau ini, Sabah secara konsisten memperjuangkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam.

“Saya membayangkan Sabah berkembang menjadi pusat serantau untuk sektor pembuatan, maritim dan pengangkutan, memenuhi keperluan kedua-dua negara dalam pembangunan mampan, terutamanya China,” katanya.

Comment