KUSKOP laksana pelbagai inisiatif digitalisasi PMKS
16:11 Nov 14, 2023  |  By SabahKini2
KUSKOP laksana pelbagai inisiatif digitalisasi PMKS

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, Platform MyMall dibangunkan bagi menyediakan ruang pemasaran atas talian secara percuma untuk produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh PMKS.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi fokus kepada usaha mendigitalisasikan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, Platform MyMall dibangunkan bagi menyediakan ruang pemasaran atas talian secara percuma untuk produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh PMKS.

Katanya, setakat ini jumlah yang berdaftar dengan platform berkenaan adalah seramai 1,277 usahawan dan berjaya menjana jualan sebanyak RM2.77 juta. 

Selain itu jelasnya, kerajaan turut menawarkan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) melalui TEKUN Nasional bertujuan menyediakan modal pembiayaan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan secara atas talian.

Menurutnya, sejak dilaksanakan, seramai 779 usahawan mendapat manfaat daripada skim berkenaan yang melibatkan pembiayaan sehingga RM5.9 juta. 

"Kementerian turut memperkenalkan Skim SME Technology Transformation Fund (STTF) melalui SME Bank yang menyediakan pembiayaan kepada PMKS untuk meningkatkan penggunaan digital dalam operasi perniagaan.

"Setakat hari ini, sebanyak 261 syarikat menerima manfaat daripada STTF yang melibatkan pembiayaan sebanyak RM301.15 juta.

"Pelaksanaan Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil membantu memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan mengenai pendigitalan perniagaan kepada penjaja dan peniaga kecil," katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, KUSKOP turut melaksanakan Program Transformasi Teknologi dan Digitalisasi Koperasi bertujuan memberi pendedahan kepada koperasi ke arah penggunaan teknologi dan digitalisasi dalam tadbir urus serta aktiviti koperasi.

Ewon berkata, kementeriannya juga melaksanakan Program Memperkasakan Digitalisasi Koperasi (C.O.D.E.) melalui Institut Koperasi Malaysia yang bertujuan menggalakkan koperasi menggunakan pemasaran digital.

Setakat ini katanya, sebanyak 30 program diadakan melibatkan seramai 2,093 peserta daripada pelbagai koperasi.

Comment