4 kerusi parlimen Sabah kekal milik GRS
14:11 Nov 16, 2023  |  By SabahKini2
4 kerusi parlimen Sabah kekal milik GRS

Empat ahli parlimen Sabah iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) yang bertanding atas GRS kekal kerui itu.

Bersatu gagal dalam cabaran undang-undang untuk mengosongkan empat kerusi parlimen Sabah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menafikan kebenaran untuk parti pembangkang itu meneruskan semakan kehakimannya.

Mahkamah sivil tidak akan mendengar merit cabaran undang-undang itu.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, hakim Amarjeet Singh memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang membabitkan keputusan Speaker Dewan Rakyat.

“Ini berdasarkan hanya satu sebab iaitu kes-kes Mahkamah Persekutuan (duluan sebelum ini) menyatakan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara yang mempersoalkan Speaker (keputusan mengenai kerusi parlimen),” katanya.

Amarjeet menambah bahawa ini adalah selaras dengan Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan, yang memperkatakan keistimewaan Parlimen.

Peruntukan itu menyatakan bahawa kesahihan mana-mana prosiding Dewan Parlimen atau mana-mana jawatankuasa berkaitan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Amarjeet juga tidak membuat arahan mengenai kos.

Peguam, yang juga bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun (Art Harun) mewakili Bersatu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak mewakili Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, yang merupakan salah seorang daripada lima responden.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili empat lagi responden yang merupakan ahli parlimen Sabah iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Pada 17 April, Bersatu memfailkan tindakan undang-undang terhadap Johari dan empat ahli parlimen Sabah berkenaan.

Dua pemohon ialah Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan setiausaha kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya.

Bersatu memohon perintah untuk membatalkan keputusan yang dibuat Johari, melalui surat bertarikh 16 Jan, yang menyatakan empat ahli parlimen itu telah menjelaskan dan mengesahkan bahawa tiada kerusi parlimen kosong berdasarkan tafsiran perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bersatu.

Bersatu juga memohon pengisytiharan bahawa empat ahli parlimen itu telah tidak lagi menjadi ahli Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, serta perintah supaya Johari mengesahkan empat kerusi itu sebagai kosong.

Bersatu juga memohon perintah agar Johari memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari selepas perintah itu.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), empat ahli parlimen itu dipilih di bawah tiket GRS, termasuk Bersatu sebagai ahli gabungan.

Bagaimanapun, GRS menamatkan pakatannya dengan Bersatu selepas pilihan raya.

Bersatu berhujah bahawa pada 10 Dis tahun lepas, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengeluarkan kenyataan media memaklumkan empat ahli parlimen itu telah memutuskan untuk meninggalkan parti itu.

Pemohon mendakwa, lebih seminggu kemudian pada 19 Dis semasa sidang parlimen pertama selepas PRU15, empat ahli parlimen itu duduk di blok kerajaan, yang jelas menunjukkan hasrat mereka untuk meninggalkan Bersatu.

Bersatu menegaskan bahawa setiausaha agungnya kemudian mengeluarkan notis pemecatan kepada empat ahli parlimen itu pada 21 Dis tahun lepas, memaklumkan mereka tidak lagi menjadi ahli parti.

Bersatu mendakwa memandangkan pemecatan berlaku selepas pilihan raya, kerusi parlimen kosong mengikut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

 

1 Comment