CoBT perlu dibangunkan secara agresif – Hajiji
15:11 Nov 17, 2023  |  By SabahKini2
CoBT perlu dibangunkan secara agresif – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Pelancongan Berasaskan Komuniti dibangunkan secara agresif berikutan potensi besarnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik cadangan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) agar Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) luar bandar diberi perhatian khusus oleh badan dunia itu.

Justeru itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Pelancongan Berasaskan Komuniti dibangunkan secara agresif berikutan potensi besarnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

Katanya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta STB boleh mengharapkan sokongan penuh kerajaan negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi CoBT.

“Walaupun masih dalam fasa pemulihan berikutan pandemik Covid-19, beberapa inisiatif yang diambil oleh kementerian dan STB telah membuahkan hasil, khususnya dalam sektor CoBT,” katanya pada pelancaran Ekspo CoBT Sabah di Suria Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapan Hajiji disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.

Menurut Hajiji, pada tahun lepas, seramai 224,356 pelancong melawat ke destinasi pelancongan luar bandar di negeri ini dan membawa masuk hampir RM8 juta resit pelancongan.

“Angka ni hanya melibatkan dari tiga kawasan CoBT Kadamaian (Kota Belud), Kiulu (Tuaran) dan Tambunan. Saya percaya angka itu mungkin lebih tinggi dan akan terus berkembang dengan dorongan agresif bersama mempromosikan pelancongan luar bandar oleh semua Majlis Tindakan Pelancongan Daerah dan Persatuan Pelancongan daerah di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pelancongan merupakan salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi negeri di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan kerajaan negeri akan melabur dalam infrastruktur dan pembangunan kemahiran untuk pelancongan masyarakat luar bandar.

“Oleh yang demikian, saya ingin melihat Pelancongan Berasaskan Komuniti di Sabah setanding atau lebih baik dari negara-negara lain.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha oleh STB dan Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) supaya CoBT mempunyai jenama sendiri, langkah ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan.

“Selain itu, kerajaan negeri turut mengalu-alukan cadangan Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai semasa Perhimpunan Agung UNWTO supaya pelancongan berasaskan komuniti luar bandar diberi perhatian khusus oleh badan dunia itu,” katanya sambil memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong usaha untuk CoBT Sabah mencapai 80 peratus pematuhan Standard Asean menjelang 2030.

Ketua Menteri berkata ekspo tiga hari itu bermula 17 hingga 19 November 2023 di lobi pusat beli belah Suria Sabah akan menjadi pelan transformasi untuk CoBT Sabah, mempamerkan produk masyarakat luar bandar, dan menawarkan pelancong dengan pengalaman yang menarik.

Comment