Penambahan aset PPM Sabah, Sarawak sedang dalam kajian
13:11 Nov 21, 2023  |  By SabahKini2
Penambahan aset PPM Sabah, Sarawak sedang dalam kajian

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata keperluan menambah aset PPM sedang diteliti dengan mengambil kira keluasan perairan di Sabah dan Sarawak.

KUDAT: Keperluan untuk menambah aset Pasukan Polis Marin (PPM) di Sabah dan Sarawak sedang dalam kajian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata perkara itu sedang diteliti dengan mengambil kira keluasan perairan di kedua-dua negeri berkenaan.

“Keperluan untuk tambahan aset ini dalam kajian kita, bagi PPM Sabah dan Sarawak kita melihat kepentingannya untuk membesarkan lagi dan meletakkan FOP ataupun pengkalan Marin yang bersesuaian, ia sedang difikirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan program Community Policing di Pulau Banggi, Kudat di sini.

Dalam pada itu Razarudin berkata, kehadiran pelbagai agensi dan pasukan keselamatan berjaya mengurangkan kes jenayah rentas sempadan seperti penculikan dan penyeludupan.

“Tahap keselamatan di perairan utara Sabah khususnya di Kudat dan Pulau Banggi yang terletak berhampiran negara jiran juga terjaga dengan adanya pengawasan berterusan daripada pasukan keselamatan negara.

“Kehadiran pasukan keselamatan ini juga mampu mengurangkan atau membenteras penyeludupan, penculikan dan selama saya berada di Pulau Banggi ni, tiada sebarang kes direkodkan,” katanya.

Menurutnya pada akhir tahun 2005 sehingga sekarang, tiada lagi sebarang kes yang dicatatkan terutama kes penculikan.

“Tiada kes jenayah yang direkodkan dan secara keseluruhannya, Sabah, kita melihat di sini bahawa dengan adanya Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan dengan kekuatan yang ada di sini, dengan risikan yang kita kumpulkan.

“Kali terakhir berlakunya penculikan adalah tahun 2020, Januari sehingga hari ini, Alhamdulillah tidak ada berlaku lagi kes penculikan. 

“Kes penculikan yang dicatatkan pula hanya membabitkan lima nelayan Indonesia, walaupun botnya ada di Malaysia tapi warga awak-awaknya daripada Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran juga penting bagi memastikan aspek keselamatan di perairan negara sentiasa terjaga.

“Kita berharap kerjasama ini serta usaha agensi penguatkuasa di lautan ini kekal utuh bagi memastikan Sabah kekal terpelihara.

“PDRM juga menentukan bahawa Sabah ini selamat daripada kes-kes penculikan dan juga kerjasama dengan pihak Filipina juga memainkan peranan untuk mendapatkan maklumat supaya tiada kejadian seperti ni berlaku,” katanya.

Dalam program ini, Razarudin turut melawat Balai Polis Karakit di Pulau Banggi dan turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf dan ibu tunggal di pulau terbabit.

Beliau turut melawat pulau-pulau di sekitar Kudat dan meninjau pos barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pulau Malawali dan pos barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pulau Balambangan.

Razarudin juga sempat menyerahkan jaket keselamatan kepada nelayan di kawasan perairan serta penduduk di Pulau Banggi.

Pada majlis sama turut diadakan demonstrasi latihan bersama daripada PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Comment