Kadar pengangguran Sabah catat penurun kepada 7.5% tahun lalu
15:11 Nov 24, 2023  |  By SabahKini2
Kadar pengangguran Sabah catat penurun kepada 7.5% tahun lalu

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata data yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia itu juga menunjukkan Sabah sedang mengalami pertumbuhan positif.

KOTA KINABALU: Kadar pengangguran di Sabah mencatatkan penurunan hanya 7.5 peratus tahun lalu berbanding 8.2 peratus pada 2021 dengan statistik menunjukkan 1,875,800 penduduk di negeri ini mempunyai pekerjaan pada 2022 berbanding hanya 1,856,500 pada 2021.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata data yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia itu juga menunjukkan Sabah sedang mengalami pertumbuhan positif.

“Usaha yang diambil oleh pihak kerajaan selepas penularan wabak COVID-19 juga mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di Menara Kinabalu di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Seri Hashim Paijan dan Peguam Besar Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA menggesa agensi terbabit agar menumpukan usaha menambah baik pengurusan dan pentadbiran agar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang berbaki dua tahun lagi dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan telus.

“Usaha ini selaras dengan pembasmian kemiskinan, meningkatkan kecekapan infrastruktur pengangkutan dan logistik, membangunkan masa depan serta memastikan kebolehpasaran graduan institusi pengajian tinggi (IPT) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Inisiatif SEDIA seperti Program Peningkatan Kemahiran dan Bakat sudah dijalankan mengikut usaha Transformasi Modal Insan untuk meningkatkan kemahiran individu.

“Ia dilaksanakan melalui program meningkatkan kemahiran dan membina kemahiran, menambah baik akses pendidikan dan latihan melalui program jangkauan serta mewujudkan kerjasama lebih baik antara industri dan pihak institusi, “katanya.

Menurutnya, hasil daripada usaha SEDIA ini berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada 1,600 peserta dan 300 usahawan.

“Berdasarkan statistik, kadar penyertaan tenaga kerja Sabah meningkat kepada 70.9 peratus pada 2022 berbanding hanya 70.4 peratus pada tahun sebelumnya.

“SEDIA masih relevan sebagai penggerak teras pembangunan ekonomi serantau, saya mahu SEDIA membuat anjakan besar dalam perancangan dan pelaksanaan projek-projeknya untuk merancakkan pembangunan Sabah.

"Menjelang 2024, SEDIA harus menumpukan kepada pelaburan dalam logistik, pertanian dan pelancongan selain menumpukan terhadap aktiviti yang menjana ekonomi baharu merangkumi tenaga boleh diperbaharui, penggunaan teknologi dalam pertanian, penternakan dan perikanan,” katanya.

Hajiji berkata, sebagai agensi yang diamanahkan untuk melaksanakan pelan tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC 2.0), SEDIA perlu melaksanakan inisiatif dan projek strategik yang mampu menarik pelaburan yang berpotensi, mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.

“Saya akui memang mencabar untuk mengurus dan mentadbir sesebuah agensi, khususnya dalam aspek penyampaian perkhidmatan, tetapi SEDIA membuktikan mampu beroperasi secara telus dan berintegriti. 

“SEDIA juga diberikan sijil bil bersih selama 13 tahun berturut-turut oleh Ketua Audit Negara, tahniah untuk pencapaian ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi Persekutuan kerana memberi kepercayaan kepada SEDIA untuk melaksanakan beberapa inisiatif dan projek di Sabah.

Katanya projek terbabit termasuklah projek pemasangan sistem solar untuk bangunan kerajaan, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan menaik taraf jalan masuk ke tapak cadangan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong di Kalabakan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada SEDIA kerana dipilih sebagai penyelaras dan perancang Sidang Kemuncak SDG bagi Sabah tahun hadapan.

Katanya pencapaian ini akan meningkatkan kedudukan Kementerian Ekonomi sebagai titik fokus SDG dan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara.

Comment