Golongan belia Palestin sukarela membersihkan Kompleks Perubatan Al-Shifa
15:11 Nov 27, 2023  |  By SabahKini2
Golongan belia Palestin sukarela membersihkan Kompleks Perubatan Al-Shifa

Belia Palestin bertindak inisiatif membersihkan Kompleks Perubatan Al-Shifa secara sukarela. Inisiatif itu bertujuan membersihkan dan mensteril peralatan bagi membolehkan hospital itu beroperasi semula.

BANDARAYA GAZA: Golongan belia Palestin pada Ahad melancarkan inisiatif membersihkan Kompleks Perubatan Al-Shifa secara sukarela dan memulakan sebahagian operasinya dengan menyediakan perkhidmatan dialisis buah pinggang.

"Hospital itu telah mengalami kerosakan, inisiatif itu bertujuan membersihkan dan mensteril peralatan bagi membolehkan hospital itu beroperasi semula terutama perkhidmatan dialisis," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Ketua Pengarah Hal Ehwal Pentadbiran Kementerian Kesihatan Gaza, Mahmoud Hammad.

Hammad berkata, nyawa pesakit buah pinggang akan terancam jika mereka tidak menjalani dialisis.

Serangan yang menyasarkan Kompleks Perubatan Al-Shifa menyebabkan setiap kemudahan termasuk peranti dan peralatan rosak.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memaklumkan 100 trak bantuan yang mengandungi makanan, air, susu formula dan selimut telah memasuki wilayah utara Semenanjung Gaza pada Ahad.

Terdahulu pada Ahad, PRCS turut mengumumkan penghantaran satu lagi konvoi bantuan terdiri daripada 50 trak dari Rafah menuju ke Bandaraya Gaza dan ke kawasan utara.

Konvoi terbabit sarat dengan bantuan dan bekalan makanan, air minuman, ubat-ubatan dan bekalan kecemasan.

Jeda kemanusiaan selama empat hari di bawah pengantaraan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada Jumaat telah menghentikan sementara serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Comment