Kedutaan asing dialu-alukan lawat ESSCOM, ESS ZONE nilai tahap keselamatan – Komander
14:12 Dec 04, 2023  |  By SabahKini2
Kedutaan asing dialu-alukan lawat ESSCOM, ESS ZONE nilai tahap keselamatan – Komander

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata pihaknya sedia untuk membantu pihak kedutaan asing itu bagi mendapatkan maklumat dan mendengar sendiri taklimat yang diberikan mengenai agensi tersebut dan ESS ZONE.

LAHAD DATU: Pihak kedutaan asing di negara ini dialu-alukan untuk melawat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan meninjau Zon Selamat Timur Sabah (ESS ZONE) bagi melihat sendiri tahap keselamatan di kawasan itu sentiasa terjamin.

Mengalu-alukan perkara itu, Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata pihaknya sedia untuk membantu pihak kedutaan asing itu bagi mendapatkan maklumat dan mendengar sendiri taklimat yang diberikan mengenai agensi tersebut dan ESS ZONE.

“Dengan cara ini kita boleh memberikan mereka (pihak kedutaan) komitmen serta kepercayaan bahawa sebenarnya kawasan ESS ZONE kita selamat, dan harapan saya wakil kedutaan ini apabila pulang mereka membawa gambaran jelas keadaan di ESS ZONE.

“Kemudian besar harapan kita supaya mereka dapat mengemas kini situasi nasihat perjalanan yang dikeluarkan negara masing-masing," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian mengulas langkah United Kingdom (UK) menukar nasihat perjalanan yang sebelum ini dikeluarkan bagi kawasan pantai timur Sabah susulan situasi keselamatan semakin baik di lokasi itu terutama di daerah Kudat yang merupakan sebahagian daripada ESS ZONE.

ESSCOM ditubuhkan 10 tahun lepas dengan dikoordinasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan ESSZone merangkumi daerah Kudat, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Sementara itu, Victor berkata perubahan nasihat perjalanan dilakukan UK bagi warga British melancong ke Sabah itu merupakan suatu perkembangan positif untuk pembangunan zon tersebut.

Beliau berkata perubahan itu juga membuktikan kehadiran pasukan keselamatan di ESS ZONE membawa peningkatan keselamatan dan tahap kesejahteraan masyarakat sekali gus melonjak ekonomi termasuk sektor pelancongan.

Katanya bilangan pelancong yang berkunjung ke kawasan ESS ZONE menunjukkan peningkatan yang ketara, justeru menjadi harapan ESSCOM supaya negara lain turut turut mengikuti langkah yang dilakukan UK dalam mengubah nasihat perjalanan bagi Sabah sebagai kawasan selamat untuk dikunjungi.

"Saya percaya satu hari nanti nasihat perjalanan positif dikeluarkan untuk seluruh ESS ZONE dan sebab itu perlunya kerjasama semua pihak iaitu kerajaan negeri, persekutuan serta semua kementerian bagi membantu ESS ZONE,” katanya.

Sementara itu, Victor berkata ESSCOM merancang pelbagai perkara bagi mempertingkatkan operasi dan keupayaan kawalan pasukan keselamatan dari segi pembangunan serta kapasiti sumber manusia antaranya mengukuhkan tahap kesiagaan melalui pembinaan pos kawalan keselamatan baharu di pesisir pantai.

Beliau berkata pos kawalan keselamatan baharu itu termasuk di kawasan Manalunan, Kinabatangan dan Kuala Maruap, Lahad Datu di bawah kelulusan peruntukan Rolling Plan Ke-2 (RP2) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Selain pembinaan pos kawalan keselamatan di darat iaitu Poirgon, Kalabakan termasuk pembinaan pangkalan bot ronda PDRM di Sungai Seguntur, Sandakan di bawah RP4, RMK12, di samping cadangan memperkukuhkan pengawasan di sempadan melalui sistem radar pengawalan laut.

“Ia akan dikendalikan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) serta cadangan perolehan unmanned aerial vehicle (UAV) dron dan kamera jarak jauh bagi mengesan serta memantau sasaran yang mencurigakan," katanya.

Beliau berkata aspek pengukuhan pemeliharaan keselamatan awam perlu dititikberatkan dengan meningkatkan keupayaan dan kesiagaan pasukan, infrastruktur pos serta aset keselamatan yang berteknologi tinggi.

Comment