Mohon pertimbang bina jambatan Labuan, demi peningkatan ekonomi – Anifah
14:12 Dec 04, 2023  |  By SabahKini2
Mohon pertimbang bina jambatan Labuan, demi peningkatan ekonomi – Anifah

Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Anifah Aman berkata, pembinaan jambatan itu bukan sahaja dapat memudahkan akses ke pulau berkenaan bahkan berupaya menggerakkan industri pelancongan di Labuan.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Anifah Aman memohon kerajaan untuk mempertimbangkan pembinaan jambatan Wilayah Persekutuan Labuan bagi menghubungkan pulau itu dengan Sabah.

Ini kerana katanya, pembinaan jambatan itu bukan sahaja dapat memudahkan akses ke pulau berkenaan bahkan berupaya menggerakkan industri pelancongan di Labuan.

"Saya juga memohon agar Kerajaan mempertimbangkan pembinaan jambatan yang menghubung Sabah dengan Labuan.

"Pembinaan jambatan ini akan menyediakan 'ease of access' yang boleh menggerakkan industri pelancongan kerana penduduk Sabah, Sarawak dan Negara Brunei mudah tiba ke Labuan.

"Ketibaan pelancong-pelancong asing daripada luar negara juga akan membawa 'cash flow', dan dijangka akan memberi kesan yang positif kepada ekonomi Labuan, " katanya semasa membahaskan usul di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Anifah yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan Labuan sebagai Kluster 'startup' dan inovasi.

Tambah beliau, ia dilihat mampu menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), yang turut menerima manfaat daripada pengecualian cukai kepada entiti yang aktiviti kewangan dan perdagangan Islam.

Justeru Anifah berharap kerajaan dapat mempertimbang perkara itu berikutan perkembangan perniagaan 'startup' yang semakin berkembang di Malaysia, bagi membolehkan Sabah, Labuan, dan Sarawak mendapat manfaat dari sudut sokongan dan bantuan.

Comment