Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kewujudan pelbagai IPTS di negeri ini turut menyumbang dan membantu membangunkan Sabah secara keseluruhannya.
KOTA KINABALU: Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dilihat sangat penting bagi proses pembangunan modal insan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kewujudan pelbagai IPTS di negeri ini turut menyumbang dan membantu membangunkan Sabah secara keseluruhannya.
Katanya, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai jenis inisiatif bagi membantu pelajar di sini untuk melanjutkan pengajian selepas di bangku sekolah menengah.
“Inisiatif seperti bantuan kewangan ‘one off’ sebanyak RM1,500 kepada pelajar yang mendaftar bagi program diploma, Foundation dan matrikulasi dilihat sangat membantu khususnya golongan B40.
“Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan wang tunai sebanyak RM2,000 untuk pelajar yang mendaftar bagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Kejohanan Sukan Antara IPTS Zon Sabah (MASISWA 2023) di Kampus University College Sabah Foundation (UCSF), pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hajiji turut menekankan pentingnya aktiviti sukan dalam kalangan penuntut IPT supaya sentiasa mengekalkan kesihatan selain dapat memupuk perpaduan serta kerja berpasukan.
“Saya menyambut baik pengajuran MASISWA 2023 dan berharap ia dapat diteruskan setiap tahun bagi melahirkan belia berkebolehan dari segi akademik mahupun sukan,” kataya.
Sementara itu, Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berkata, semua atlet yang terlibat dalam sukan kali ini menunjukkan kesungguhan dan semangat kesukanan yang tinggi.
“Saya berharap MASISWA 2023 ini mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penuntut universiti yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, UCSF muncul sebagai johan keseluruhan dalam kejohanan itu setelah menenangi lima pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa.
Cyberjaya College Kota Kinabalu menduduki tempat kedua keseluruhan dan tempat ketiga disandang oleh Cosmpoint College.
Sebanyak 17 buah IPTS dan 1,500 atlet menyertai Sukan MASISWA yang berlangsung dari 29 November hingga 2 Disember 2023 baru-baru ini.
Sebanyak sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu Futsal, Bola Tampar, Badminton, Bola Jaring, E-Sport, Catur, Petanque dan Aerodance bagi merebut sebanyak 21 pingat emas.
Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengarah Yayasan Sabah yang juga Pro-Canselor UCSF, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar.