Manifesto Pakatan Harapan Berorentasi Populis - Yahya Hussin
00:03 Mar 13, 2018  |  By SabahKini2
Manifesto Pakatan Harapan Berorentasi Populis - Yahya Hussin

Banyak janji mereka itu dalam manifesto berorentasikan populis, cuma buat orang suka (dengar) tetapi tidak dapat dilaksanakan. Ibarat menjanjikan madu tetapi beracun..

PUTATAN-  Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan baru-baru ini lebih bersifat  populis bertujuan mengelirukan rakyat.

Katanya manifesto itu  bukan sahaja tidak logik dan tidak dapat praktikkan tetapi juga akan ditolak oleh rakyat Malaysia yang sememangnya tahu menilai yang terbaik untuk negara.

"Sebagai contoh, mereka mahu hapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Ini satu cubaan yang mengelirukan rakyat... di mana kita mahu dapat pendapatan besar untuk membantu kita mentadbir negara? Kutipan GST ini kita pulangkan kepada rakyat juga.

"Banyak janji mereka itu dalam manifesto berorentasikan populis, cuma buat orang suka (dengar) tetapi tidak dapat dilaksanakan. Ibarat menjanjikan madu tetapi beracun... Saya fikir, rakyat tidak semudah itu dikelirukan. Rakyat Malaysia rakyat yang bijak, masing-masing ada pengetahuan untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara itu logik atau tidak," katanya.

Yahya yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah berkata  demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mensejahterakan Komuniti Nelayan Daerah Putatan 2018 di sini hari ini.Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Dr Ahemad Sade.

Katanya ini berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang tidak  akan menjanjikan apa-apa kepada rakyat jika parti itu tidak mampu laksanakan.

Malah kata Yahya manifesto BN lebih menyeluruh dan spesifik kerana selain mempunyai manifesto nasional, BN juga mempunyai manifesto peringkat negeri, parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Mengenai manifesto BN pada pilihan raya umum ke-13, Yahya berkata sebahagian besarnya sudah dilaksanakan dan sedang dinikmati rakyat manakala yang lain sedang dalam pelaksanaan dan akan dilaksanakan

Sebagai contoh katanya pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya  termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo, sedang dalam pelaksanaan.

Pada majlis itu  Yahya menyampaikan elaun sara hidup  kepada lebih 900 nelayan selain turut melancarkan projek melabuhkan tukun tiruan serta penyerahan bantuan kepada keluarga nelayan yang ditimpa musibah dan bencana alam.

-bernama

Comment