Sabah perkukuh kerjasama dengan Persekutuan melalui pembangunan negeri
22:12 Dec 07, 2023  |  By SabahKini2
Sabah perkukuh kerjasama dengan Persekutuan melalui pembangunan negeri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan jumlah peruntukan bagi projek pembangunan di Sabah untuk 2024 berjumlah RM6.84 bilion membuktikan kedua-dua kerajaan saling percaya dalam menangani masalah pembangunan.

PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, pendirian kerajaan negeri untuk menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini membantu memperkukuhkan lagi kerjasama di antara Sabah dan Persekutuan.

Beliau berkata, peningkatan jumlah peruntukan bagi projek pembangunan di Sabah untuk 2024 berjumlah RM6.84 bilion membuktikan kedua-dua kerajaan saling percaya dalam menangani masalah pembangunan yang tinggi di negeri ini.

Katanya, selepas setahun mengambil alih pentadbiran kerajaan, jumlah peruntukan setahun untuk Sabah dari Persekutuan terus ditingkatkan kepada RM16.21 bilion termasuk peruntukan pengurusan berjumlah RM7.8 bilion.

"Kalau ditanya kenapa peruntukan Sabah tinggi? sebab masalah di Sabah lebih banyak seperti jalan raya, sekolah, bekalan elektrik dan air yang semuanya kita harus bantu.

"Jadi ini tanggungjawab kita bersama kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 (HPPK2023) di sini hari ini.

Beliau berkata, isu mengenai jumlah peruntukan kepada Sabah sering dijadikan mainan politik dan perkara itu harus dihentikan.

Anwar berkata, kerajaan patut mencari jalan untuk menguruskan kewangan dengan baik.

Menurutnya, peruntukan yang diumumkan kepada Sabah itu tidak termasuk kos pembiayaan Projek Pan Borneo yang melibatkan pembiayaan sepenuhnya dari Persekutuan berjumlah RM15 bilion.

"Nasib baik kita ada Ketua Menteri dan Menteri Kewangan yang prihatin. Tidak boleh ikut cara lama yang mahu kontraktor sendiri biarpun tidak layak.

"Terima kasih kepada Datuk Hajiji, dia kata jangan peduli tapi cari kontraktor terutama dari Sabah yang layak dan mampu jalankan kerja. Kalau tidak bagilah berpuluh bilion tapi kerja tidak siap malah tertangguh," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, dalam Kerajaan Perpaduan harus ada saling percaya bagi kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Menerusi kerjasama yang diperkukuhkan dengan prestasi kerajaan negeri, kita di Persekutuan tetap menyokong kepimpinan Datuk Hajiji sebagai Ketua Menteri.

"Pendirian saya jelas, supaya ada hubungan harmoni dan kerjasama untuk membangunkan serta menjamin keselesaan hidup rakyat," katanya.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan pemberian peruntukan berjumlah RM1 juta kepada persatuan penjaja menerusi dana berjumlah RM20 juta yang dikendalikan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) merangkap Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Comment